Pembantu rumah dicari bantu siasat kes bunuh CEO Cradle Fund


Alfian Z.M. Tahir

CEO Cradle Fund Nazrin Hassan ditemi mati di kediamannya di Mutiara Damansara pada 14 Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018

POLIS kini mencari pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja dengan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan ketika beliau ditemui mati, menurut sumber, yang diharap dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight, penyiasat hanya tahu mengenai kewujudan pembantu rumah berkenaan selepas mereka menahan ahli keluarga Nazrin ketika menjalankan siasatan.

“Titik permulaan bagi siasatan kami bertanya kepada ahli keluarga berkenaan sekiranya mereka ada pembantu rumah. Mereka menafikannya,” kata sumber polis kepada The Malaysian Insight.

“Hanya selepas kami menahan beberapa ahli keluarga dan selepas disoal siasat, mereka mengaku mereka mempunyai pembantu rumah warga Indonesia yang menghilangkan diri sejurus selepas pembunuhan itu.

“Ketika penyiasat ke rumah mangsa pada hari kejadian, tiada pembantu rumah. Sekiranya ada, sudah pasti kami akan ambil keterangannya,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, pihaknya sudah mencari pembantu rumah berkenaan, yang dipercayai pendatang haram berikutan tiada rekod masuk atau keluar dari negara ini di Jabatan Imigresen.

Rakan keluarga berkenaan turut memberitahu The Malaysian Insight Nazrin memang menggaji pembantu rumah.

“Malangnya pembantu rumah itu menghilang. Jika tidak, kami tidak perlu mengambil masa yang lama untuk tahu apa yang berlaku ke atasnya,” kata rakan itu.

Mayat Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kedua pada pertengahan bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018

Nazrin ditemui mati di bilik tidur rumahnya di Mutiara Damansara selepas rumah teres dua tingkat itu mengalami kebakaran pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.

Menurut keluarganya, telefon bimbit milik Nazrin meletup menyebabkan kebakaran itu. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan kematian CEOnya berpunca daripada letupan telefon bimbit yang dicas di tepi katil.

Abang kepada Nazrin, Dr Malek Hassan, yang melihat mayat Nazrin selepas bedah siasat pertama berkata, beliau menyedari kesan luka di bahagian kiri kepala terlalu besar dan dalam untuk disebabkan objek tumpul seperti telefon bimbit.

Berdasarkan pemerhatian itu, dan dengan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai bunuh, menyebabkan Dr Malek membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menggali semula mayat adiknya untuk menjalani bedah siasat kali kedua.

Penggalian itu bagaimanapun dicabar oleh balu Nazrin, Samirah Muzaffar tetapi permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mayat Nazrin digali semula pada pertengahan Oktober lalu dan polis kini menunggu keputusan hasil bedah siasat kedua.

Dalam perkembangan siasatan setakat ini, polis telah menahan Samirah yang merupakan eksekutif kanan di Malaysian Intellectual Property Corporation, vekas suaminya, dua anak lelakinya, adik ipar Nazrin dan suami yang mana semuanya adalah ahli keluarga di sebelah balu Nazrin.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan. – 11 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen