Komuniti India yakin dengan Pakatan


Mohd Farhan Darwis Christopher Rabin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada sambutan rumah terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, Negeri Sembilan malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2018

KOMUNITI India yakin nasib mereka akan terbela di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun tanpa “blue print” khusus untuk mereka seperti mana ketika pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Mereka turut menyatakan keyakinan mereka terhadap manifesto PH berhubung masyarakat India yang tidak mempunyai kerakyatan dapat ditunaikan dan hanya perlu memberi masa kepada kerajaan untuk melaksanakannya.

“Nak laksanakan janji akan makan masa, banyak masalah yang rakyat tidak nampak, tapi jentera kerajaan tahu.

“Kita tidak tahu masalah yang ditinggalkan kerajaan lepas, beri masa baru boleh laksanakan. Kalau perintah hari ini, nak esok Malaysia berubah tidak boleh, kita perlu beri masa kerajaan tunaikan janji,” kata seorang jurutera berusia 39 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Selva kepada The Malaysian Insight.

“Kerajaan PH akan teruskan usaha membantu masyarakat India, yang paling penting adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan, ramai yang tiada kad pengenalan, kekurangan pendidikan, tercicir dan tiada peluang melanjutkan pelajaran sekaligus terlibat dengan kegiatan negatif seperti gengsterisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan rumah terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, Negeri Sembilan, yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi.

Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Rathika yang merupakan seorang guru meminta rakyat Malaysia memberi masa kepada kerajaan untuk melakukan perubahan.– Gambar The Malaysian Insight, 10 November, 2018

Menyelesaikan isu komuniti India yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan dalam masa 100 hari mentadbir terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bulan lalu berkata, seramai 1,641 individu berketurunan India bakal menerima status kewarganegaraan setelah permohonan mereka diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daripada 3,853 permohonan diterima.

Najib dalam ucapan Deepavali di laman Facebooknya baru-baru ini yakin komuniti India Malaysia akan lebih makmur dengan perancangan kerajaan BN, sekiranya masih memerintah.

Ahli Parlimen Pekan itu juga melahirkan rasa terkilan kerana agenda untuk komuniti India seperti Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dan beberapa inisiatif lain untuk komuniti itu kini tidak dapat dilaksanakan.

Bagi pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Segar, 58, beliau yakin Dr Mahathir akan mengotakan janji membantu komuniti itu, walaupun tidak menandatangani sebarang perjanjian atau dokumen pembangunan masyarakat India seperti dilakukan Najib.

“Dr Mahathir tidak ada tandatangan apa-apa perjanjian macam Najib, beliau setakat janji mulut tetapi beliau tunaikan. 

“Kita lihat pemimpin Hindraf, Waytha dilantik jadi menteri, boleh masuk mesyuarat Kabinet dan bangkitkan isu masyarakat India terus kepada perdana menteri,” katanya.

Rathika, 38, pula mengharapkan rakyat memberikan masa kepada kerajaan melaksanakan janji manifesto.

Beliau yang merupakan seorang guru mengharapkan perubahan dari aspek pendidikan untuk masyarakat India kerana hanya dengan cara itu sahaja yang mampu mengubah kehidupan mereka.

Ramakrishnan, 36, juga menyeru rakyat tidak memberikan tekanan kepada kerajaan melaksanakan manifesto dan lebih memahami situasi semasa hutang negara.

“Kita jangan beri tekanan kepada kerajaan, kita dengar hutang RM1 trilion pun sudah sakit hati, kita kena beri masa mereka laksanakan janji,” katanya yang juga merupakan seorang guru. – 10 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen