UMNO mendesak kerajaan menghentikan sebarang usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan hadir ke Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak pada 17 November ini bagi menyatakan bantahan keras itu.
Program tersebut akan disusuli dengan gerakan bersama antara Pemuda Umno dan PAS dengan mengadakan jelajah ke setiap negeri bagi memberikan penjelasan kepada rakyat, kata Zahid.
“Umno meminta kerajaan menghentikan langkah yang akan menjejaskan pembinaan masyarakat yang diwujudkan selama ini melalui persefahaman bersama kerana ratifikasi ICERD ini bertentangan dengan Perlembagaan.
“Kita akan mulakan dengan kerjasama Umno Perak sebagai tuan rumah di Pasir Salak pada 17 November ini.
“Dan saya sendiri akan berucap sepentas dengan presiden PAS dan kedua-dua parti secara jelas menolak ratifikasi ICERD ini. Kami minta Pemuda Umno dan Pemuda PAS bergerak ke negeri-negeri selepas itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno petang tadi.
Pemuda Umno dan PAS pada Ahad lalu telah mengadakan himpunan membantah ratifikasi ICERD di Masjid Jamek sebelum berarak ke Sogo.
Dalam himpunan tersebut, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Pemuda PAS dan Umno merancang untuk mengadakan siri jelajah bagi membantah hasrat kerajaan meratifikasi ICERD.
Polemik mengenai Icerd ini timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy Oktober lalu memaklumkan bahawa kerajaan akan meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019. – 9 November, 2018.
Komen