ANGKA kematian dalam nahas dahsyat membabitkan dua bas pada Rabu di Lebuhraya Harare-Mutare, Zimbabwe meningkat kepada 50 orang, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut polis, sejumlah 40 orang maut di tempat kejadian, lima ketika dalam perjalanan ke hospital manakala dua lagi pada pagi Khamis.
Tiga lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam nahas itu pada lewat petang Khamis, menjadikan jumlah kematian 50 orang, lapor badan penyiar rasmi Zimbabwe, ZBC, pada Jumaat.
Nahas itu, yang diisytihar sebagai satu bencana negara, turut menyebabkan 80 orang cedera selepas dua bas yang melakukan perjalanan jarak jauh bertembung di lebuh raya tersebut.
Sementara itu, polis melancarkan pemburuan ke atas pemandu dan konduktor sebuah bas terbabit yang melarikan diri dari tempat kejadian.
Presiden Emmerson Mnangagwa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit. – Bernama, 9 November, 2018.
Komen