Imelda Marcos dihukum penjara kerana rasuah


Mahkamah anti rasuah Sandiganbayan memerintahkan Imleda Marcos dipenjarakan sekurang-kurangnya enam tahun kerana kesalahan pemindahan kira-kira AS$200 juta melalui yayasan Switzerland beberapa dekad lalu. – Gambar EPA, 9 November, 2018.

IMELDA Marcos didapati bersalah atas tuduhan rasuah pada Jumaat dan diarahkan ditangkap dalam satu sabitan rasuah terhadap bekas wanita pertama Filipina bersama mendiang suaminya menggelapkan berbilion ringgit daripada tabung negara.

Bagaimanapun, Marcos yang kini berusia 89 tahun boleh merayu terhadap keputusan, yang membolehkannya kekal bebas sementara kesnya menjalani proses perundangan yang perlahan.

Keputusan mahkamah anti rasuah Sandiganbayan itu memerintahkan beliau dipenjarakan sekurang-kurangnya enam tahun kerana kesalahan pemindahan kira-kira AS$200 juta melalui yayasan Switzerland beberapa dekad lalu.

Ferdinand Marcos, bersama-sama kroninya dituduh mencuri AS$10 bilion dari Filipina, melarikan diri dengan keluarganya ke Amerika Syarikat selepas pemberontakan rakyat menamatkan pemerintahannya selama 20 tahun pada 1986.

Marcos meninggal dunia pada 1989 ketika masih dalam buangan. Tetapi pewarisnya kemudian kembali ke Manila dan sejak itu membuat kemunculan semula dalam politik. Imelda Marcos kini menjadi ahli kongres.

Sebagai pegawai kerajaan dalam pentadbiran Marcos, Imelda tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk mempunyai kepentingan kewangan dalam yayasan Switzerland, kata keputusan itu.

“Pasangan itu membuka semua akaun di Switzerland, dan mereka menggunakan nama samaran untuk menyembunyikan pemilikan mereka. Presiden memilih William Saunders dan Imelda Marcos menggunakan nama Jane Ryan,” kata pendakwa khas Ryan Quilala kepada wartawan.

Peguamnya tidak dapat dihubungi, sementara seorang pengawal akhbar memberitahu AFP tiada sebarang komen.

Pegawai mahkamah berkata, Marcos mampu mengelak daripada dipenjarakan dengan wang jaminan yang belum ditentukan dan mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan itu kepada pihak berkuasa tertinggi negara, Mahkamah Agung.

Badan itu sebelum ini pernah membatalkan kes terhadap Imelda, menterbalikkan hukuman penjara 24 tahun pada 1993 berhubung tuduhan rasuah.

Beliau kemudian bertanding untuk kongres dan menang semasa rayuannya sedang berjalan. – AFP, 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen