Polis Peru tangkap geng seludup bayi


Polis Peru menahan 14 individu dan melakukan serbuan di 18 hartanah di selatan kota Arequipa, mematahkan aktiviti jual beli bayi. – Gambar EPA, 9 November, 2018.

PIHAK berkuasa Peru berkata mereka mematahkan satu jaringan penyeludupan bayi yang membabitkan bekas ketua polis negara itu.

Polis menahan 14 individu dan melakukan serbuan di 18 hartanah di selatan kota Arequipa, kata pendakwa raya Rosmery Palomino.

Mereka turut menyelamatkan seorang bayi lima bulan yang hendak dijual pada harga AS$1,200.

Geng itu yang termasuk beberapa doktor akan bertemu dengan wanita yang mahu menggugurkan kandungan, akan memujuk mereka melahirkan supaya bayi itu dapat dijual.

Pegawai jabatan pendaftaran yang termasuk dalam geng itu kemudian akan menyediakan semua kertas kerja yang diperlukan.

Serbuan itu hasil siasatan pihak berkuasa sejak Mei lalu.

Ketua jaringan itu dipercayai seorang model Cinthia Tello, yang juga teman wanita kepada jeneral bersara Raul Becerra, bekas pengarah polis Peru pada 2010.

Tello, yang juga produser rancangan ratu cantik di Arequipa, “ialah ketuanya – dia akan menerima bayi di rumahnya sebelum menyerahkan kepada ibu bapa angkat”, kata pendakwa raya Miriam Hernandez.

Antara yang turut ditahan ialah doktor ginekologi dan doktor kanak-kanak, selain tiga wanita yang bertanggungjawab menghubungi wanita hamil yang mahu menggugurkan kandungan.

Peru antara negara yang mengguna pakai undang-undang ketat untuk menggugurkan kandungan, dan wanita hamil hanya dibenarkan melakukannya jika kehamilan itu membahayakan nyawa ibu berkenaan. – AFP, 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen