AS tangguh kelulusan PBB untuk bantuan kepada Korea Utara 


Duta AS ke PBB Niki Haley berkata Korea Utara tidak melakukan apa-apa yanng membolehkan sekatan itu dibatalkan. – Gambar EPA, 9 November, 2018

AMERIKA Syarikat bertindak menangguhkan kelulusan beberapa permohonan pengecualian sekatan bagi menghantar traktor, alat ganti dan beberapa barangan keperluan lain yang diperlukan dalam bantuan kemanusiaan di Korea Utara, menurut dokumen yang dilihat AFP pada Khamis. 

Rusia meminta Majis Keselamatan untuk membincangkan penangguhan itu pada mesyuarat tertutup yang diadakan pada Khamis. 

Korea Utara kini dikenakan sekatan antarabangsa kerana menjalankan ujian nuklear dan peluru berpandu balistik, namun resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan ia tidak akan menjejaskan bantuan kemanusiaan. 

Pengecualian itu akan membenarkan penghantaran barangan untuk membaiki kemudahan kesihatan Korea Utara, peralatan perladangan seperti traktor dan barang lain yang diperlukan untuk projek kemanusiaan, menurut dokumen berkenaan.

Duta AS ke PBB Nikki Haley berkata Amerika Syarikat “akan mengambil masa” untuk menyemak semula permohonan itu bagi memastikan bekalan itu tidak dipesongkan kepada Pyongyang sebaliknya sampai kepada mereka yang memerlukan. 

Haley menuduh Rusia cuba mencari isu bersama Korea Utara dengan membangkitkan isu sekatan di Majlis Keselamatan. 

Amerika Syarikat telah menafikan gesaan dari China dan Rusia untuk mengurangkan sekatan sebagai ganjaran kepada pemimpin Kim Jong Un untuk menghentikan ujian peluru berpandu dan mengadakan dialog dengan Amerika Syarikat.

Pentadbiran Presiden Donald Trump mengekalkan tekanan maksimum dari sekatan itu untuk memaksa Kim terus mematuhi janjinya untuk denuklearisasi di semenanjung Korea. 

“Kami telah memberikan banyak peluang hingga kini. Kami tidak akan abaikan pendirian, kerana mereka masih belum melakukan apa-apa yang membolehkan sekatan itu dibatalkan,” kata Haley. – AFP, 9 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen