Hakim perlu bebas daripada segala pengaruh, kata ketua hakim negara


Chan Kok Leong

Ketua Hakim Malaysia Richard Malanjum berkata kebebasan hakim sangat penting agar mereka tidak takut untuk tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, atau untuk mengabaikan keputusan mahkamah lebih tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 November, 2018.

BADAN kehakiman tidak seharusnya bertindak seolah-olah ia eksekutif ketika membuat keputusan penghakiman, kata Ketua Hakim Malaysia Richard Malanjum.

Kebebasan hakim juga sangat penting agar mereka tidak takut untuk tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, atau untuk mengabaikan keputusan mahkamah lebih tinggi, katanya.

“Kebebasan kehakiman termasuk kebebasan daripada pengaruh internal dan eksternal. Ia mesti difahami oleh kerajaan dan pentadbir bahawa hakim tertinggi di negara ini bukanlah penjawat awam.

“Mereka dilantik oleh Agong dan gaji mereka adalah daripada dana yang disatukan. Oleh itu, hakim tidak boleh lebih berfikiran eksekutif daripada Eksekutif,” kata Malanjum pada pelancaran buku mengenai bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Mohd Yunus, “Meraikan Kebebasan Kehakiman” di Kuala Lumpur hari ini.

Memuji Hishamudin, Malanjum berkata bekas hakim itu sentiasa tegas apabila diuji dalam kes yang melibatkan kerajaan.

Dalam kes Abdul Ghani Haron lawan ketua polis negara yang melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Hishamudin berpendapat pemohon habeas corpus mempunyai hak untuk hadir di mahkamah semasa prosiding.

Hishamudin juga memutuskan budi bicara polis untuk penangkapan bukanlah mutlak dan ia boleh dicabar jika terdapat ketidakjujuran pada pihak polis.

“Beliau teguh berdepan ujian walaupun ketika ada tekanan,” kata Malanjum.

Beliau berkata anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu itu juga terkenal dengan keputusan yang bertentangan. – 8 November, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen