SPRM kena jelaskan kenapa Musa tak didakwa pada 2012, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata orang yang tahu mengenai mengapa Musa Aman tidak didakwa pada 2012 akan memberi penjelasan dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018.

SEBAB mengapa bekas peguam negara Abdul Gani Patail tidak mendakwa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada 2012 akan didedahkan tidak lama lagi, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata orang yang tahu mengenai perkara itu akan memberi penjelasan dengan segera.

“Ada sebab. Saya fikir hal itu (kenapa Musa tidak didakwa) tidak difahami sepenuhnya.

“Beberapa penjelasan akan dibuat, bukan oleh bekas peguam negara tetapi apakah keadaan pada masa itu ketika hal ini berlaku,” Dr Mahathir dipetik berkata oleh laporan berita hari ini.

Pada Isnin, Musa dihadapkan dengan 35 pertuduhan rasuah, didakwa menerima rasuah berjumlah RM243 juta sebagai habuan kepada pemberian konsesi balak kepada lebih daripada 15 syarikat antara 2004 dan 2008.

Musa minta dibicarakan bagi semua pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta yang dibayar secara dua kali ansuran.

Beliau juga mempersoalkan masa pertuduhan dikenakan terhadapnya dan berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz ketika di Parlimen memberitahu telah membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Nazri yang kemudian berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata terserahlah kepada mereka yang terlibat dan SPRM untuk menjawab mengapa tiada pendakwaan dibuat terhadap Musa.

“Kalaupun dia (Gani) jelaskan, tiada apa yang akan berlaku. Orang lain kena jelaskan dan agensi anti rasuah kena jelaskan kenapa tiada tindakan pada masa itu.”

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga berkata Gani wajib menjelaskan mengapa Musa tidak didakwa.

Lim menggesa Gani beri penjelasan sama ada beliau takut kepada Musa atau bekas perdana menteri Najib Razak, atau jika beliau mempunyai hubungan dengan Musa.

Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram turut melahirkan rasa terkejut kerana Gani tidak mengambil tindakan ke atas Musa ketika menjadi peguam negara memandangkan SPRM mempunyai kes yang kuat terhadap bekas ketua menteri Sabah itu. – 8 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen