JAGUH badminton negara Lee Chong Wei mengakui beliau sudah pulih daripada kanser hidung dihidapinya dan akan memulakan latihan selepas mendapat persetujuan doktor.
Lee berkata doktornya di Taiwan memaklumkan beliau “pulih dengan baik” susulan rawatan diterimanya.
“Saya pergi mendapatkan rawatan di Taiwan selama sebulan.
“Semalam, doktor mengatakan keadaan saya baik. Saya perlu mendengar nasihatnya dan akan bermula dengan perlahan (mengenai latihan saya),” katanya dalam sidang akhbar hari ini yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia .
Masalah kesihatan atlet berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan sejak beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Indonesia bulan lepas.
Chong Wei berkata ia adalah rawatan paling sukar yang perlu lalui sepanjang kerjayanya.
“Rawatan itu sangat sukar dan saya tidak boleh makan. Setiap kali saya cuba menelan ia terlalu menyakitkan dan saya menangis.
“Ini adalah cabaran paling sukar yang saya hadapi. Saya hilang berat 5kg tetapi naik semula 3kg dan ketika mendapat tahu saya menghidap kanser, saya tidak dapat tidur selama seminggu.”
Apabila ditanya sama ada beliau akan bersara daripada sukan, Chong Wei berkata tidak buat masa ini.
“Saya tidak akan bersara kerana saya cintakan sukan dan negara saya. Jika keadaan saya baik, saya akan teruskan dan jika teruk, saya akan berhenti.
“Keluarga saya sangat memberi sokongan tetapi keutamaan saya yang pertama bukan kembali ke gelanggang tetapi kesihatan saya.”
Atlet badminton itu juga berkata beliau tidak mempunyai sebarang isu untuk layak ke Olimpik 2020.
“Saya akan cuba mendapatkan emas kerana ia sentiasa menjadi impian saya. Jika saya dalam keadaan baik, maka saya akan berjuang untuk pingat itu.
“Sekarang, saya mahu sembuh dan apabila doktor mengatakan saya boleh kembali, maka saya kembali.”
Chong Wei adalah pemain negara paling berjaya yang pernah memenangi tiga pingat perak di Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016), dan tiga kali muncul sebagai juara dalam Kejohanan Dunia (2011, 2013 dan 2015).
Secara keseluruhan, beliau memenangi 69 acara dan naib johan sebanyak 34 kali. – 8 November, 2018.
Komen