Belot parti perkara biasa dalam politik Sabah, kata penganalisis


Jason Santos

Saman difailkan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman menjadi faktor 11 Adun negeri itu untuk menyertai GBS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018.

BERITA mengenai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berpaling tadah kepada kem pembangkang tidak begitu menjadi hal kerana pembelotan, atau “katak melompat”, sudah menjadi perkara biasa dalam arena politik negeri itu, kata pemerhati.

Adun berkenaan dikatakan bersedia menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS), terdiri daripada bekas komponen Barisan Nasional Sabah, jika mahkamah tinggi memutuskan menyebelahi bekas ketua menteri Musa Aman berbanding Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Shafie sebagai ketua menteri yang sah. Peguam Musa mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak akan menghentikan tindakan semua Adun untuk melompat parti, kata peguam dan pemerhati politik veteran Ansari Abdullah.

“Pada 1967, 1985, 1994 dan 2018, banyak kerajaan Sabah terhutang budi kepada katak politik,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada pembelot.

“Katak mempunyai alasan mereka sendiri, tetapi dasarnya adalah mengenai kuasa dan duit.

“Kehilangan atau memperoleh kedua-dua komoditi adalah sebab sebenar. Beri saya satu nama katak politik yang tidak diberi kedudukan atau ganjaran lain.”

Pada Ahad, beberapa sumber menyatakan sekurang-kurangnya 11 Adun mungkin menyertai GBS, gabungan pembangkang yang baru dibentuk kerana ketidakpastian yang disebabkan oleh saman ketua menteri.

GBS adalah pakatan Umno Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, dan pada masa ini mempunyai 21 Adun.

Ketua Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan mengesahkan Bobbey Suan (bekas Upko-Nabawan) dan Elron Angin (PBRS-Sook) akan menyertai mereka.

Dua Adun lain dijangka beralih arah; James Ratib (Beluran) dan Masiung Banah (Kuamut).

Sumber berkata baki tujuh adalah daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu dan Warisan. – 8 November, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen