Suar dan kerusi bukti politik samseng Malaysia, kata DAP


Looi Sue-Chern

Kekecohan itu tercetus ketika Dr Mahathir sedang berucap menyebabkan majlis itu dihentikan serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

CARA pemimpin Umno bertindak balas kepada keganasan di forum “Nothing to Hide 2.0” membuktikan politik Malaysia semakin “jijik” amalannya, kata DAP.

“Politik Malaysia sudah mencecah tahap terbawah dan (menjadi) politik samseng,” kata Lim Kit Siang hari ini.

Dia berkata demikian selepas beberapa pemimpin Umno mendakwa keganasan yang tercetus di forum itu apabila kasut dan kerusi dilempar dan suar dibakar adalah kesilapan pembangkang.

Lim menyifatkan pemimpin ini sebagai “orang gila” kerana mendakwa kekecohan itu adalah disebabkan penyokong pembangkang yang bergaduh sesama sendiri.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Md Jamal Yunos mendakwa parti Dr Mahathir Mohamad, Bersatu merancang kekecohan itu, sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan mengatakan penganjur perlu dipersalahkan kerana kepincangan aspek keselamatan majlis itu.

Setiausaha Akhbar Kepada Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad juga menyalahkan penyokong Dr Mahathir, mendakwa yang mereka marah kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang gagal menjawab soalan berkaitan skandal yang berlaku semasa pentadbirannya.

Kata Tengku Sariffuddin lagi, majlis itu akhirnya menjadi forum “Everything to Hide”.

Perdana Menteri Najib Razak turut dijemput menghadiri majlis itu untuk berdebat dengan Dr Mahathir mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi tidak hadir.

Pemimpin PH mendakwa kekecohan di majlis itu adalah disebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang bimbangkan dominasi politik mereka di Malaysia semakin diancam pakatan pembangkang.

Pemuda Bersatu mengatakan tiga remaja berusia 17, 18 dan 19 tahun yang kini direman untuk siasatan berkaitan kejadian itu Ahad lepas menyamar sebagai ahli Pemuda Bersatu dan memakai T-shirt palsu Bersatu.

Lim berkata dia merasa kasihan kepada tiga remaja itu, menambah yang “sangat tidak bertanggungjawab” untuk “dalang dalam Umno” yang merancang kekecohan di forum itu menggunakan remaja berkenaan yang dibayar untuk mensabotaj majlis itu sebagai “orang suruhan yang boleh diketepikan begitu sahaja”. 

“Adakah dalang Umno ini akan datang ikat jamin remaja yang ditahan ini? Sudah tentu tak.

“Dan inilah sebabnya mengapa menteri dan pemimpin Umno berusaha keras mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan Umno,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. – 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen