SERAMAI 47 orang terbunuh di Zimbabwe semalam selepas dua bas bertembung di jalan antara ibu kota Harare dan bandar di bahagian timur, Rusape, kata polis.
“Kami sahkan 47 maut dalam kemalangan jalan raya di KM166 di sepanjang lebuh raya Harare-Mutare,” kata jurucakap polis Paul Nyathi.
Di Twitter, akhbar Herald berkata gambarnya terlalu ngeri untuk disiarkan.
Akhbar itu melaporkan rumah mayat di hospital awam di Rusape penuh dan terpaksa meminta bantuan rumah pengebumian swasta untuk menempatkan mayat.
Kemalangan jalan raya sering berlaku di Zimbabwe, di mana jalan berliku-liku dan berlubang kerana tidak diselenggarakan selama bertahun-tahun, tetapi lebuh raya di mana lokasi kemalangan itu berlaku, baru saja diturap semula.
Pada Jun tahun lalu, 43 terbunuh dalam kemalangan bas di utara negara itu, di lebuh raya menuju ke negara jiran Zambia. – AFP, 8 November, 2018.
Komen