Ketua pemberontak Yaman enggan menyerah


Pasukan tentera pro-kerajaan Yaman kini sedan mara menuju ke bandar pelabuhan Hodeida yang menjadi kubu kuat pemberontak Huthi. – Gambar EPA, 8 November, 2018

KETUA pemberontak Yaman pada Rabu berikrar tidak akan menyerah kepada pasukan bersenjata yang disokong Arab Saudi, ketika kumpulan bantuan antarabangsa merayu untuk mendapatkan laluan selamat bagi orang awam yang terperangkap dalam pergolakan di Hodeida. 

Selepas enam hari pertempuran yang menyebabkan 200 nyawa terkorban, pasukan pro-kerajaan memberi tekanan lebih kuat kepada Hodeida. sebuah bandar di Laut Merah yang dikuasai pemberontak Huthi dan di bawah sekatan Arab Saudi dan sekutunya. 

Kepulan asap dapat dilihat pada jarak jauh ketika pasukan tentera pro-kerajaan mara ke bandar pelabuhan itu sambil berlindung di sebalik trak tentera. 

Pakatan, yang merupakan sekutu diketuai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, menghantar jet pejuang, helikopter tempur Apache untuk membantu pasukan tentera Yaman menyerang kedudukan pemberontak, lapor sumber tentera pro-kerajaan kepada AFP. 

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen dari lokasi yang tidak diketahui, ketua pemberontak mengakui sekutu tentera terbabit sedang menuju ke Hodeida. 

Kumpulan bantuan antarabangsa merayu kedua-dua belah pihak agar memberi laluan selamat kepada orang awam untuk meninggalkan bandar yang mempunyai populasi 600,000 penduduk itu. 

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa merayu kepada pihak berkenaan untuk “melindungi orang awam dan kemudahan awam” termasuk ambulans, hospital, bekalan elektrik dan loji air. – AFP, 8 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen