TENTERA Guinea menembak mati dua lelaki pada Rabu di kawasan pinggir bandar ibu negara Conakry, yang mana penunjuk perasaan dan tentera bertempur, kata sumber kepada AFP.
Mamadou Bela Balde, 30, ditembak di kepala apabila tentera bertindak melepaskan tembakan ke arahnya bersama tiga rakannya yang lain ketika meninggalkan sebuah rumah di daerah Wanidara, kata abangnya yang enggan namanya didedahkan kepada AFP. Seroang lagi mangsa, Mamadou Alimou Diallo mengalami cedera parah di bahagian dada.
“Dua lagi yang bersama mereka turut cedera, namun masih hidup,” kata abangnya.
Sumber hospital Conakry, Ignace Deen berkata, dua mayat dibawa ke hospital berkenaan.
Pihak kerajaan bagaimanapun masih belum memberi sebarang kenyataan.
Saksi memberitahu AFP, perhimpunan tunjuk perasaan itu tercetus d kawasan pinggir bandar pada pagi dan petang Rabu, namun insiden tembakan itu berlaku selepas perhimpunan berkenaan.
Dua lelaki berusia sekitar 20-an turut ditembak dan mengalami kecederaan di Cosa, iaitu satu lagi kawasan pinggir bandar Conakry, yang mana penunjuk perasaan membuat halangan bagi menyekat trak polis, menurut koresponden AFP yang menyaksikan kejadian itu.
Pembangkang di Guinea bertindak mengadakan protes berhubung apa yang disifatkan mereka sebagai pelanggaran oleh pihak berkuasa terhadap perjanjian yang dicapai pada Ogos berhubung pelantikan pegawai pohak berkuasa tempatan pada pemilihan 4 Februari lalu.
Perhimpunan yang diadakan pada Rabu dan Khamis itu bagaimanapun diharamkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu awal bulan ini, polis menghalang ratusan wanita daripada berkumpul di jalan utama Conakry bagi menuntut “keadilan” terhadap rakyat yang dibunuh dalam siri serbuan oleh pihak berkuasa.
Menurut pembangkang, ratusan penunjuk perasaan dibunuh oleh polis yang melepaskan tembakan pada perhimpunan aman sejak Presiden Alpha Conde mendapat kuasa pada Disember 2010. – AFP, 8 November, 2018
Komen