MENELUSURI sejarah awal Islam, Abu Jahal tidak pernah sekalipun menggelarkan Nabi Muhammad pendusta sebaliknya yang didustakannya adalah ajaran baginda.
Justeru, mengapa Abu Jahal tidak mengikuti Muhammad bahkan menentang habis-habisan ketika beliau mengakui betapa Nabi Muhammad itu benar, tidak dusta?
“Demi Allah bahawa Muhammad seorang nabi. Kami menolak kerana kami tidak pernah mengikuti Bani Abd Manaf – cabang kaum dari keluarga suku Quraisy.”
Begitulah pengakuan Abu Jahal tentang Rasulullah dalam kitab Wa Syahida Syahidun min Ahliha oleh Raghib as-Sirjani.
Kaum Abu Jahal dan Bani Hashim, cabang dari Bani Abd Manaf, sememangnya saling berebut kemuliaan.
“Apabila kelompok Bani Hashim memberi makan, kami juga memberi makan. Jika mereka menjamu dengan minuman, kami juga demikian. Jika mereka memberi perlindungan, kami juga melakukannya,” kata Abu Jahal.
Dua kelompok itu saling beradu siapa lebih mulia. Abu Jahal ‘tewas’ apabila kelompok Bani Hashim memiliki nabi yang menerima wahyu. Demi Allah, kata Abu Jahal, mereka tidak sesekali akan beriman dan percaya kepada Islam.
“Mengapakah tidak diutuskan nabi dalam kalangan keturunan Abu Jahal iaitu Bani Mahzum,” keluh Abu Jahal. Jika Bani Hasyim menguasai kepimpinan, memperoleh kenabian, apa lagi yang tinggal untuk golongan Quraisy yang lain?
“Bolehkah kabilahku menyamai kemuliaan itu?” tanya Abu Jahal.
Itulah sebenar-benarnya alasan Abu Jahal menolak keimanan. Bukan kerana Muhammad bin Abdullah berdusta, tetapi kerana sombong dan angkuhnya seorang Abu Jahal. Demi ego, rela memilih untuk tidak beriman, asalkan tidak merendahkan martabat perkauman.
Jika dia beriman, bererti kabilahnya kalah dalam pertarungan kemuliaan. Kabilahnya kecundang kepada Bani Hasyim. Malu jika ada kelompok lain lebih tinggi daripada sukunya.
Sebagai tanda perlawanan, Abu Jahal melancarkan kempen boikot terhadap Bani Hasyim. Tidak boleh menikah dan berdagang dengan mereka, termasuk melarang menjual makanan. Abu Jahal kerap menjadikan setiap Muslim yang dijumpainya sasaran caci maki dan beliau galak menindas kelompok Muslim yang lemah.
Perangai jahiliah
Sedangkan Allah melarang bersikap angkuh. Apatah lagi memilih jalan kebatilan, menindas kaum lemah demi menjaga sikap perkauman sempit. Jelas sikap asabiyyah, dengki dan taasub pada kebatilan ada pada Abu Jahal. Justeru, mereka yang seumpama itu sukar memahami sesuatu perkara secara menyeluruh kerana taklid, taasub, hasad dan prejudis – menyemarakkan ketuanan perkauman sempit.
Sikap itu terdapat pada zaman pra-Islam – zaman jahiliah. Karen Armstrong dalam karyanya Fields of Blood: Religion and the History of Violence menyebut istilah Jahili punya konotasi kebodohan – sifat mudah marah, rasa diri lebih mulia dan angkuh atas semua perkara. Akhirnya mereka mudah sensitif dan sentap apabila menyentuh ketuanan kaum.
Nabi Muhammad membangunkan prinsip masyarakat adil, terbuka dan demokrat yang bercirikan egalitarian, perhargaan kepada manusia berdasarkan prestasi. Bukan kerana bangsa dan kaum, apatah lagi menilai nasab pertalian darah. Nabi Muhammad diutus untuk melawan sikap perkauman, ketidakadilan dan penindasan kelompok Quraisy kepada kaum lemah.
Nabi Muhammad juga tidak menentang keyakinan Abu Jahal. Bahkan, banyak antara teologi mereka yang benar. Mereka yakin tanpa meragui Allah adalah pencipta alam semesta. Namun, penentangan Nabi Muhammad kepada mereka tertumpu kepada sikap gagal menterjemahkan pesan ketauhidan, misalnya mengangkat nilai kemanusiaan. Tauhid tidak memilih kaum tetapi mereka menyemai sikap diskriminasi terhadap kaum yang tidak sebulu dengan mereka.
Lantas, mereka gagal menyempurnakan pesan kenabian. Akhirnya menjadi angkuh dan sombong, mendabik dada menjadi kaum yang kuat kerana menindas insan lemah. Inilah yang ada pada Abu Jahal.
Jelas, Islam menekankan keadilan sosial dan kesetaraan manusia. Nabi Muhammad menolak sikap perkauman sempit. Islam mendambakan tatanan sosial yang adil dan saksama. Quran mengajar sikap pemaafan, toleransi, ketundukan kepada Tuhan, dan memelihara hak-hak kemanusiaan. Ini termaktub dalam pesan-Nya: (5:64) (16:90).
Islam mulia, kaum tidak
Dalam Islam, tidak ada keistimewaan berdasarkan pertalian ras, etnik, atau suku. Cukup hanya beriman dan beramal soleh. Tidak perlu menjadi suku itu, kaum ini atau keturunan itu ini untuk menjadi lebih mulia. Di sisi Allah, hanya takwa jadi ukuran.
Dalam buku Nonviolence And Peace Building In Islam karya Mohammed Abu Nimer, Ibn Taymiyya, seorang sarjana Muslim termasyhur (1263-1328), menyebut: “Hasrat untuk berada di atas orang lain tidak adil kerana semua orang adalah satu jenis. Hasrat seseorang untuk menempatkan dirinya lebih tinggi dan menempatkan orang lain lebih rendah adalah tidak adil.”
Bahkan seorang mufasir, Ali ibn Ibrahim al-Qummi mengikut tulisan Asma Asfaruddin, The First Muslims, menyatakan bahawa ayat Quran 23:101 bukti betapa Allah menempelak kelompok yang berbangga-bangga dengan baka dan nasab keturunan mereka.
Sejajar dengan hadis, beliau nukilkan: “Wahai Manusia, konsep Arab bukanlah seorang bapa dan nenda, tetapi hanya sebuah bahasa yang diungkapkan kepada manusia. Barang siapa yang bercakap dengan sarananya merupakan seorang Arab, ketahuilah bahawa setiap dari kamu adalah anak-anak Adam dan Hawa dan dicipta dari tanah.
“Demi Allah seorang hamba dari Habsyah yang mentaati-Nya lebih mulia daripada seorang pemimpin Quraisy yang mengingkari-Nya. Sesungguh paling mulia dari kamu adalah yang bertakwa.”
Muslim yang kuat bukanlah kerana kaumnya, bapanya, atau keturunannya, tetapi kerana keterikatan ampuh pada hubungan dengan Tuhan dan manusia. Kerana itu Nabi Muhammad sentiasa berpesan supaya menjadi muslim yang berusaha keras, produktif, bersikap hemat. Penghargaan kepada individu manusia bukan kepada kaumnya, tetapi prestasi.
Siapa jadi Abu Jahal?
ICERD dilihat sebagai seruan kepada sebuah penegakan hak asasi manusia, mengatasi perkauman sempit yang sesetengahnya telah dilembagakan.
Tidak hairanlah, mereka yang cenderung kepada perkauman sempit – ulangan sikap jahili zaman pra-Islam – tidak senang dengan ICERD. Ironinya mereka menentang ICERD dengan mengguna pakai jenama Islam yang disempit-sempitkan.
ICERD adalah sebahagian usaha untuk menghalang jenayah kemanusiaan lebih berleluasa. Justeru, ratifikasi ICERD mustahak kerana ia secara halus dapat melindungi pesan-pesan ketauhidan, kesinambungan ajaran nabi. Mengangkat martabat kemanusiaan berada di tempat tertinggi sekaligus memastikan setiap masyarakat hidup dalam kesaksamaan dan keadilan tanpa jurang pemisahan batas kaum.
Ironinya, ICERD dilawan kerana ia didakwa menggugat kestabilan agama dan kaum. Sedangkan seruan itu sebuah penegakan hak asasi manusia. Di hadapan Tuhan, semua manusia sama. Manusia harus dihargai sebagai makhluk Tuhan – semua bani Adam mesti dihormati.
Maka tauhid Islam adalah melahirkan masyarakat yang menghargai keadilan bersama, egalitarian, memartabatkan maruah insaniyah. Agama muncul untuk kepentingan kemanusiaan, membawa citra damai.
Justeru, wajarlah kita menepuk dada, bertanya diri sendiri – siapakah kita di mata-Nya, selera Abu Jahalkah atau umat yang jujur menegakkan sebenar-benar paksi Islam yang didakwah Rasulullah, junjungan kita. – 8 November, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Komen