JAWATANKUASA Pembaharuan Institusi (IRC), yang menyiapkan laporannya dan menyerahkannya kepada kerajaan pada pertengahan Julai lalu, tidak tahu apa jadi dengan cadangan-cadangan mereka yang hanya beberapa saja sudah dilaksanakan oleh Putrajaya.
Mereka bagaimanapun berkata pembaharuan yang dilaksanakan itu tidak semuanya cadangan mereka kerana ia sememangnya perubahan yang hendak dilakukan, misalnya pelantikan Speaker Parlimen.
Anggota IRC Mah Weng Kwai memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya tidak harus menyorok laporan itu sebaliknya mendedahkannya kepada umum – dengan segera.
Mah sebelum ini dilaporkan berkata: “Saya akan sangat kecewa sekiranya ini jadi satu lagi usaha yang semua orang fikir sedang dilakukan tetapi kemudiannya tidak jadi apa-apa.”
IRC sebelum ini mengumpulkan maklum balas daripada pertubuhan masyarakat dan pihak berkepentingan yang lain tentang bagaimana hendak membetulkan institusi negara.
Cadangan-cadangan itu kemudian dibukukan dalam sebuah laporan dan diserahkan kepada pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin pada Julai.
Jawatankuasa itu menerima lebih 1,000 cadangan dalam masa dua bulan selepas pilihan raya 9 Mei. CEP kemudian membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. IRC juga dilaporkan memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai cadangan-cadangan mereka pada 19 Julai lalu.
“Kami tidak dengar apa-apa yang rasmi selepas itu,” kata Mah.

Mah yang juga pesuruhjaya hak asasi manusia dan bekas hakim Mahkamah Rayuan menarik perhatian beberapa pembaharuan sudah dijalankan, terutamanya di Parlimen.
“Ada perubahan dibuat tetapi tidak semestinya hasil cadangan kami.”
Beberapa usaha melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan juga sudah berjalan, termasuk reformasi parlimen, penyusunan semula pelantikan hakim dan pemansuhan Akta Berita Tidak Benar 2018. Pemansuhan itu kemudiannya ditolak di Dewan Negara yang dikuasai pembangkang.
Mah menambah tonggak utama cadangan mereka melibatkan pembaharuan dalam lapan institusi utama iaitu Parlimen, pilihan raya, kehakiman, perkhidmatan perundangan, pencegahan rasuah, polis dan imigresen, media serta agensi hak asasi manusia.
“Kita nampak ada beberapa pembaharuan selain daripada speaker baru. Ada juga pengerusi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang baru. Ahli baru JAC (Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman) juga dilantik.
“Ada perubahan tetapi seperti yang saya katakan, itu sememangnya akan berlaku,” katanya.
Mah mengulangi gesaan sebelum ini agar laporan itu didedahkan kepada umum oleh kerajaan.
“Kami tidak dengar apa-apa mengenai gesaan itu,” katanya.
Selain Mah, jawatankuasa itu dianggota Presiden Hakam, Ambiga Sreenevasan; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, K.C. Vohrah; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigedier Jeneral (Bersara) Mohamed Arshad Raji dan profesor undang-undang Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi.

Arshah memberitahu The Malaysian Insight, IRC mengemukakan ratusan cadangan, enam atau tujuh daripadanya mengenai pembaharuan institusi.
“Salah satu reformasi besar sekarang ini berlaku di Parlimen. CEP mahu saya menyertai jawatankuasa pembaharuan Parlimen tetapi saya tidak mahu,” kata Arshad.
“Itu isu utama yang ditangani oleh IRC dan saya senang dengan perkembangannya,” kata beliau.
Arshad bagaimanapun berkata beliau mahu lihat perubahan berlaku dalam pasukan polis.
“Budaya (rasuah) dalam pasukan polis sangat kuat. Rasuah isu utama.
“IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) perlu ditubuhkan segera supaya rakyat tahu pembaharuan sedang dibuat.
“Ia juga baik untuk pasukan polis,” katanya.
Shad Saleem sementara itu menggesa rakyat agar bersabar kerana pembaharuan dalam masa lima bulan tidak akan membetulkan kerosakan yang berlaku kesan pentadbiran sebuah kerajaan secara berterusan selama enam dekad.
Beliau menarik perhatian pada beberapa perkembangan positif di Parlimen.
“PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) sekarang dipengerusikan oleh pembangkang.

“Beberapa muka baru juga sudah dilantik. AG (Peguam Negara), ketua hakim negara yang baru dan pengerusi SPR yang baru.
“Kita perlu beri kerajaan sedikit masa. Untuk siapkan cadangan mudah tetapi untuk libatkan pihak yang berkepentingan akan memakan masa.”
“Tidak adil untuk kita mengkritik kerana selama 61 tahun kita diperintah oleh sebuah kerajaan saja dan semuanya tidak boleh diubah dalam masa lima bulan,” tambah beliau.
Cadangan IRC yang lain termasuk proses saringan untuk pelantikan beberapa jawatan utama, pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan undang-undang drakonian yang lain, pembaharuan dalam agensi penguatkuasaan serta mengehadkan kuasa eksekutif perdana menteri. – 8 November, 2018
Komen