Demokrat kuasai Dewan Perwakilan, imbangi kuasa Republikan


Penyokong Demokrat bersorak meraikan kejayaan parti itu menguasai Dewan Perwakilan pada pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat. – Gambar AFP, 7 November, 2018.

PARTI Demokrat merampas kembali Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya pertengahan penggal, tetapi Presiden Donald Trump terselamat daripada ‘gelombang biru’ apabila Parti Republikan mengekalkan majoriti dalam Dewan Senat.

Keputusan itu bagaimanapun menunjukkan kebangkitan rakyat terhadap Trump susulan isu perkauman dan perpecahan yang dimainkan partinya sepanjang kempen.

Namun Trump tetapi menganggap keputusan itu sebagai ‘kejayaan luar biasa’ dan kejayaan Republikan mengekalkan kuasa di Senat mengelakkan sebarang usaha pendakwaan terhadap presiden walaupun Dewan Perwakilan yang kini dikuasai Demokrat mempunyai kuasa untuk menyiasat terhadap salah laku presiden.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, parti Demokrat akan menguasai semula Dewan Perwakilan buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, sekali gus mengembalikan keseimbangan kuasa di Washington selepas Trump memperoleh kuasa penuh susulan kemenangan mengejut beliau pada pilihan raya 2016 yang menyaksikan Republikan menguasai kedua-dua dewan.

Demokrat berada di landasan tepat untuk merampas kembali sekurang-kurangnya 27 kerusi daripada Republikan dengan sokongan kuat dalam kalangan wanita kulit putih di kawasan pinggir bandar yang pernah menyokong Trump dua tahun lalu.

Selain itu, Demokrat juga memiliki sokongan di lokasi hangat termasuk di Pennsylvania.

Bagi perebutan kerusi Senat, keputusan tidak rasmi menunjukkan Republikan sudah memenangi 51 kerusi daripada 100 kerusi yang dipertandingkan.

Perwakilan Demokrat Nancy Pelosi yang mungkin kembali sebagai Speaker Dewan Perwakilan, berjanji akan memastikan partinya mengimbangi kuasa Republikan.

“Hari ini lebih penting daripada Demokrat dan Republikan. Ianya tentang memulihkan kembali semak dan imbang terhadap pentadbiran Trump,” kata Pelosi.

Kemenangan itu juga membolehkan Demokrat menyekat undang-undang dan memastikan siasatan dijalankan ke atas Trump berhubung skandal kewangan dan campur tangan Rusia pada pilihan raya 2016. – AFP, 7 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen