NAIB Presiden Gerakan Dominic Lau mengumumkan akan bertanding jawatan presiden parti bergandingan dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong yang akan merebut jawatan timbalan presiden.
Lau juga mendedahkan tiga rancangan untuk masa depan parti sekiranya terpilih menjadi presiden; mengukuhkan struktur organisasi parti, merakyatkan parti dan melaksanakan semak dan imbang ke atas kerajaan.
“Saya mahu berterima kasih kepada orang lama parti dan ahli akar umbi kerana menyokong pengumuman pencalonan saya, tentang Oh yang akan bergandingan dengan saya, dan saya juga mahu mengumumkan tiga hala tuju yang akan dilakukan ke atas parti,” katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat Gerakan hari ini.
Mengenai pengukuhan parti, Lau berkata beliau mahu merangsang rasa pemilikan dan kebanggaan jadi ahli parti serta membawa parti kembali kepada akar umbi ideologinya sejak diasaskan pada 1969.
“Biarkan ahli parti kembali dan bekerja dengan asal usul parti, kita akan menugaskan Satu Akademi untuk menyebarkan ideologi kita kepada semua ahli.
“Kita juga akan menganjurkan program kedai kopi untuk menyebarkan ideologi kepada rakyat dan meningkatkan kemampuan ahli supaya dapat menangani isu politik dengan betul,” katanya.
Lau berkata parti hanya boleh mencetuskan perubahan pada pilihan raya umum akan datang jika berjaya meraih kembali kepercayaan rakyat dan ia perlu dilakukan dengan sistematik.
Mengenai peranan semak imbang kerajaan, katanya Gerakan sudahpun keluar daripada Barisan Nasional dan kini parti bebas.
Oleh kerana itu, Gerakan bebas menyokong mana-mana dasar yang bermanfaat kepada rakyat dan menolak dasar yang memberi kesan buruk, kata Lau lagi. – 7 November, 2018.
Komen