Masuk fasa akhir pemilihan PKR, kem Azmin atasi kem Rafizi 


Nabihah Hamid

Azmin Ali kini selesa mendahului pesaingnya, Rafizi Ramli untuk perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

KEM Mohamed Azmin Ali menguasai jawatan kanan PKR ketika pemilihan parti itu masuk fasa akhir minggu ini, dengan pengundian di Sarawak dan semua 12 cabang yang berdepan pelbagai masalah yang akan mengundi semula pada Sabtu dan Ahad ini.

Selepas 13 negeri mengundi sejak 23 September lalu, penyandang Timbalan Presiden PKR, Azmin kini mendahului lebih 3,000 undi mengatasi pencabarnya Rafizi Ramli. 

Bagi jawatan naib presiden, hanya Nurul Izzah Anwar dari kem Rafizi yang menyertai senarai empat calon dengan undi terbanyak.

Nurul Izzah, yang mendapat lebih 70,000 undi, diikuti oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan dua penyandang naib presiden, Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua, ketiga-tiga pendukung Azmin.

Bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 15 calon dari kem tersenarai dalam 20 calon dengan undi tertinggi. 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendapat undi paling tinggi mencecah 50,000 diikuti Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon, Rahimah Majid dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R.Sivarasa. 

Lima calon kem Rafizi yang ‘lepas’ dalam pemilihan MPP ialah Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, Ahli Parlimen setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad serta Nurin Aina dan Zaliha Mustafa. 

Sementara itu, bagi peringkat sayap pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), calon kem Azmin, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin mengatasi calon kem Rafizi, Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru hanya dengan 1,000.

Regu Dr Afif, Hilman Idham sebaliknya selesa meninggalkan dua lawannya untuk kerusi timbalan ketua AMK dengan 8,000 undi.

Calon kem Azmin juga cemerlang dalam persaingan dua jawatan tertinggi sayap wanita. Calon ketua Wanita, Haniza Talha dan calon timbalannya, Dr Daroyah Alwi jauh meninggalkan lawan masing-masing dengan majoriti 4,000. 

Pemilihan PKR secara berperingkat mengikut negeri sejak akhir  September lalu kini masuk pusingan akhir apabila 29 cabang di Sarawak mengundi pada rentas dua hari hujung minggu ini. 

JPP hari ini mengumumkan 21 cabang di Sarawak mengundi pada Sabtu dan baki lapan pada Ahad.

Semua cabang yang bermasalah semasa pemilihan sebelum ini juga akan mengundi semula pada Sabtu dan Ahad ini. 

Antara cabang yang mengundi semula ialah tiga di Sabah iaitu Keningau dan Tawau yang mengundi pada Sabtu dan Pensiangan pada Ahad.

Semua enam cabang di Melaka serta tiga cabang lain iaitu Jelebu di Negeri Sembilan, Kuala Selangor di Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan – terhad bagi mereka yang mengundi sebelum ini, juga mengundi semula pada Ahad.

Kongres PKR 2018 yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 18 November di Shah Alam akan mengesahkan keputusan pemilihan ini. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen