3 cabang Sabah mengundi semula, pemilihan di Julau tak ditangguh


Nabihah Hamid

Pemilihan PKR tahun ini dipenuhi kontroversi disebabkan sistem e-voting dan dakwaan sabotaj. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

SELEPAS beberapa masalah timbul di Sabah minggu lalu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan bahawa pengundian semula akan dilakukan di Cabang Keningau, Tawau dan Pensiangan, Sabah.

Manakala, pemilihan di Sarawak dilanjutkan kepada dua hari berbanding jadual sehari sebelum ini.

21 cabang Sarawak akan memilih pada 10 November manakala 8 cabang lagi iaitu Petra jaya, Santubong, Stampin, Mambong, Sarikei, Sibu, Sibuti, Sri Aman pada 11 November. 

Pengundian semula melibatkan Cabang Keningau dan Tawau akan diadakan pada 10 November. 

Cabang Pensiangan pula akan mengundi semula serentak dengan sembilan cabang di Semenanjung yang bermasalah sebelum ini pada 11 November.

Pengundian di Keningau akan diadakan di Kompleks Sukan Keningau, manakala Kompleks Sukan Tawau akan jadi pusat pengundian Cabang Tawau.

JPP juga memilih Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan untuk pengundian semula di Pensiangan.

Waktu pengundian untuk ketiga-tiga cabang ditetapkan dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Pengumuman tersebut dibuat melalui surat pekeliling yang ditandatangani Pengarah JPP Rashid Din kepada ahli parti yang salinannya dilihat The Malaysian Insight. 

Sementara itu, dalam laman rasmi Pemilihan Keadilan 2018 telah menetapkan kawasan pengundian bagi 29 cabang di Sarawak. 

Cabang Julau yang berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) berkaitan peningkatan mendadak keahilan parti hampir 13,000 orang pula akan tetap diteruskan. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen