BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman menyifatkan keputusan mahkamah tinggi mengisytiharkan Shafie Apdal sebagai ketua menteri yang sah adalah melanggar Perlembagaan negeri itu.
Musa berkata beliau kecewa dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jing Kie hari ini dan telah mengarahkan peguamnya untuk mengemukakan rayuan.
“Saya berterima kasih kepada mahkamah, keluarga, peguam dan penyokong saya kerana menegakkan dan menghormati Perlembagaan Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan selepas keputusan mahkamah diumumkan.
“Kita sudah semestinya kecewa dengan keputusan hari ini. Bagaimanapun isu ini bukan semata-mata sama ada saya adalah ketua menteri atau tidak.
“Ini merupakan kesucian dan tafsiran tepat Perlembagaan Sabah dan kuasa TYT (Yang Di-Pertua Negeri) untuk melantik dan memecat ketua menteri.
“Saya berpendapat isu-isu ini belum diselesaikan sepenuhnya hari ini dan saya telah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini,” kata Musa.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Shafie yang juga merupakan presiden parti Warisan Sabah, sebagai ketua menteri Sabah yang sah, sekali gus mengetepikan saman yang dikemukakan Musa terhadap pelantikan Shafie.
Hakim Yew juga mengarahkan Musa membayar kos sebanyak RM30,000 kos kepada Shafie dan defendan pertama, ketua negeri atau Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.
Musa tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.13 petang, selepas beliau didakwa dengan 35 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Beliau turut berdepan pendakwaan berhubung kes ugutan terhadap Tun Juhar Mahiruddin.
Musa tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.13 petang, selepas beliau didakwa dengan 35 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Beliau turut berdepan pendakwaan berhubung kes ugutan terhadap Tun Juhar Mahiruddin.
Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad berkata beliau tidak puas hati dengan keputusan hakim dengan mengambil krisis menteri besar Perak, yang merupakan kes mahkamah persekutuan, untuk dijadikan hujah bernas dari pihak yang menentang.
Beliau berkata Perak yang mempunyai kuasa raja, tidak mempunyai Perlembagaan yang sama seperti Sabah.
“Kita semestinya tidak setuju dengan semua keputusan itu tetapi ia keputusan yang sah dan kami menghormatinya.
“Klien saya mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dan membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi,” kata Fuad. – 7 November, 2018.
Komen