QATAR akan menyalurkan bantuan sementara kepada 50,000 keluarga Palestin ketika negara itu mengetuai rundingan antara pemerintah di Gaza, Hamas dan Israel.
Doha akan memberikan dana sebanyak AS$100 kepada 50,000 keluarga miskin dalam tempoh beberapa hari lagi, lapor kenyataan Jawatankuasa Pembinaan Semula Gaza Qatar lewat Selasa.
Pemberian bantuan itu akan diselaraskan dengan bantuan Hamas.
Dalam perkembangan lain, Hamas mengumumkan penjawat awam di wilayah itu akan menerima bayaran tunggakan gaji mereka.
Hamas memerintah Gaza selepas perang saudara tercetus pada 2007 dengan Pihak Berkuasa Palestin dari Tebing Barat.
Sejak itu, kumpulan tersebut telah berperang sebanyak tiga kali dengan Israel, menyebabkan sekatan dikenakan ke atas Gaza.
Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cuba mengusahakan rundingan damai untuk memastikan Hamas menghentikan tunjuk perasaan di kawasan sempadan bagi membolehkan Israel menarik semula sekatan.
Dalam perjanjian yang direstui Israel, Qatar menyalurkan bantuan minyak untuk stesen tenaga Gaza bagi mengatasi masalah bekalan elektrik terputus di wilayah itu.
Qatar merupakan sekutu rapat Hamas dan kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir. – AFP, 7 November, 2018.
Komen