Setia kepada kerajaan BN, Zahid ingatkan pesara


Melati A. Jalil

Zahid Hamidi mengingatkan pesara kerajaan supaya tidak menggigit tangan yang pernah memberi makan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Ogos, 2017.

AHMAD Zahid Hamidi menggesa kumpulan pesara supaya terus setia kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional, mengingatkan mereka supaya bersyukar kepada Allah dengan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan hidup yang baik untuk mereka.

Timbalan perdana menteri itu berkata pesara kakitangan awam harus mempertahankan kerajaan yang selama ini menjaga mereka.

“Kita pesara-pesara di samping mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan pada waktu yang sama Insya-Allah, kita tak akan pernah menggigit tangan yang pernah memberi makan pada kita.

“Kita harus bersama-sama dengan organisasi yang pernah memayungi kita biarpun ada perasaan yang berbaur mungkin ada dalam kalangan kita,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Serdang, Selangor.

Zahid yang juga menteri dalam negeri menambah mereka yang sudah bersara tidak sepatutnya melayan rasa tidak puas hati kerana perasaan itu hanya akan mendatangkan rasa benci.

“Kita tak bersyukur kepada Allah Taala jika kita tak berterima kasih kepada yang memberi.

“Kita adalah pesara yang aktif yang akan terus memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara dan insya-Allah, kita akan terus berada di belakang kerajaan yang pernah beri naungan kepada kita.

“Kita harus bersyukur kepada Allah dengan cara berterima kasih kepada yang memberi kehidupan kepada kita selama ini iaitu kerajaan Malaysia,” katanya.

Zahid juga memaklumkan jumlah bayaran pencen kini sudah mencecah lebih RM20 bilion dan Putrajaya akan meneruskan komitmennya untuk menyediakan kemudahan lebih baik untuk pesara termasuk rawatan kesihatan yang bertanggungjawab.

Menurut Zahid, ada sejumlah 778,894 pesara di negara ini termasuk 483,684 dari Jabatan Perkhidmatan Awam setakat Jun tahun lalu. – 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen