Penyokong sambut meriah Shafie selaku ketua menteri yang sah


Jason Santos

Shafie Apdal hari ini disahkan mahkamah sebagai ketua menteri selepas saman Musa Aman mencabar kesahihan majlis angkat sumpahnya ditolak. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

RIBUAN penyokong yang melaungkan slogan “Sabah Baru” meraikan Ketua Menteri Shafie Apdal yang keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas penghakiman mengesahkan beliau selaku pemimpin negeri sah dibuat. 

Hakim Yew Jing Kie menolak saman difailkan oleh bekas ketua menteri Musa Aman yang mahu mencabar kesahan majlis angkat sumpah Shafie.

“Ia membuktikan Warisan tak pernah masuk campur dalam apa-apa perkara dan hakim sudah buat keputusan yang sangat baik dan adil.

“Masanya untuk pembangkang membenarkan Warisan menjalankan kerjanya mentadbir Sabah,” kata penyokong Warisan Mathhew Yong yang ditemui di luar mahkamah.

Hampir 1,000 penyokong Warisan berkumpul di situ sambil dikawal ketat polis.

Hampir 600 anggota polis termasuklah pasukan light strike dan unit anti rusuhan dikerahkan ke Kota Kinabalu selepas penyokong Musa daripada Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta penyokong Shafie daripada Warisan berjanji akan turun padang memberikan sokongan kepada pemimpin mereka.

Bercakap kepada wartawan, Shafie berkata keputusan mahkamah itu sangat tepat kerana Perlembagaan Sabah tidak boleh dibantah.

“Tetapi apa yang lebih penting sekarang adalah kita pastikan kita buat kerja dan kebajikan rakyat terjaga.”

Katanya, kerajaan akan terus berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu serta membantu golongan miskin di Sabah.

“Dengan keputusan ini, harapan saya supaya tiada lagi pihak yang memikirkan yang kami bukan kerajaan yang sah.

“Sudah enam bulan kami mentadbir negeri,” katanya. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen