KERAJAAN Australia hari ini menyekat bidaan lebih AS$9 bilion daripada syarikat gergasi Hong Kong CK Group untuk membeli syarikat laluan paip terbesar negara itu, keputusan yang dibuat bagi melindungi kepentingan negara.
Keputusan awal yang dinyatakan oleh Bendahara Josh Frydenberg itu merupakan antara sekatan oleh Canberra terhadap usaha entiti asing membeli tanah dan infrastruktur Australian ketika pemimpin negara itu menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh Beijing.
Bidaan itu ditolak ketika waktu getir apabila Menteri Luar Marise Payne kini berada di China untuk bertemu rakan sejawatnya, Wang Yi, lawatan pertama diadakan dalam tempoh hampir tiga tahun.
Lawatan itu diadakan bagi meredakan ketegangan politik antara kedua-dua negara.
Hubungan Australia dan China menjadi keruh selepas Beijing didakwa mencampuri urusan politik Canberra dan menggunakan wang untuk mendapatkan pengaruh.
Frydenberg berkata bidaan pembelian syarikat APA sebanyak AS$9.4 billion akan bertentangan dengan kepentingan negara.
APA mempunyai 15,000 kilometer laluan gas, mewakili 56% sistem laluan gas di Australia.
Frydenberg berkata akan berlaku implikasi terhadap kepentingan negara jika sektor gas dan elektrik didominasi oleh entiti luar untuk tempoh yang lama.
Beliau dijangka mengumumkan keputusan akhir berhubung bidaan itu dalam tempoh dua minggu lagi. – AFP, 7 November, 2018.
Komen