MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal adalah ketua menteri Sabah selepas menolak saman difailkan oleh bekas ketua menteri Musa Aman.
Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jing Kie membuat keputusan itu selepas meneliti hujah kedua-dua belah pihak.
“Mahkamah berpendapat isu ini adalah menjadi kebimbangan utama orang ramai dan oleh itu keputusan dibuat perlulah demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya kepada mahkamah.
Hakim juga mengarahkan Musa membayar kos sebanyak RM30,000 kos kepada Shafie dan defendan pertama, ketua negeri atau Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.
Musa memfailkan saman supaya mahkamah mengisytiharkan dirinya selaku ketua menteri yang sah menentang Juhar dan Shafie.
Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei, dua hari selepas Musa mengangkat sumpah.
Dalam mahkamah hari ini, Yew membangkitkan kes polis terhadap Musa.
“Perlu juga dibangkitkan yang pada malam Musa mengangkat sumpah, sekitar jam 11.15 malam pada 10 Mei, Yang di-Pertua Negeri diugut dan sebuah laporan polis sudah dibuat,” katanya.
Beliau juga membangkitkan Artikel dalam Perlembagaan Sabah mengenai pelantikan ketua menteri, pembubaran Dewan Undangan Negeri dan bagaimana Yang di-Pertua Negeri perlu bertindak atas nasihat ketua menteri.
Yew berkata apabila enam Adun Sabah daripada Upko dan Umno bersekutu dengan Warisan, ia memberikan Shafie kerusi majoriti pada pagi 11 Mei.
Beliau menambah, Juhar telah memanggil Musa mengadap di Astana Negeri pada pagi 12 Mei dan menasihati Musa dan Kabinetnya supaya meletak jawatan.
“Tetapi Musa enggan. Jadi Juhar kata, tak kisah jika awak nak ikut atau tolak, saya tetap akan lantik Shafie sebagai ketua menteri,” kata Yew yang memetik afidavit diberikan Juhar. – 7 November, 2018.
Komen