SERAMAI 79 murid sekolah yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di wilayah bergolak di Cameroon pada minggu ini, telah dibebaskan, kata menteri komunikasi negara itu.
“Kesemua 79 murid terlibat telah dibebaskan,” kata Issa Bakary Tchiroma tanpa menyatakan maklumat bagaimana kesemua tebusan itu dibebaskan.
Kejadian culik yang berlaku pada Isnini itu merupakan yang pertama berlaku di Cameroon melibatkan jumlah mangsa yang ramai dan dipercayai ada kaitan dengan ketegangan politik di negara itu.
Kesemua mangsa merupakan murid sekolah rendah Presbyterian di Bamenda, satu daripada dua kawasan yang menyaksikan kebangkitan kumpulan militan.
Wilayah itu didiami oleh penduduk yang berbahasa Inggeris.
Pembebasan mereka berlaku sehari selepas Presiden Cameroon Paul Biya mengangkat sumpah untuk penggal ketujuh bagi memimpin negara itu.
Biya berjanji untuk melaksanakan dasar bagi menyuarakan kekecewaan dan aspirasi bagi penduduk di kawasan terlibat.
Satu video berdurasi selama enam minit yang disiarkan pada Isnin lalu menunjukkan 11 kanak-kanak lelaki dipercayai berusia 15 tahun menyatakan identiti dan nama sekolah mereka dengan berbahasa Inggeris dan mendakwa mereka diculik oleh kumpulan militan Amba Boys. – AFP, 7 November, 2018.
Komen