KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan sudah meluluskan 102 projek daripada 176 projek yang disyaki dianugerahkan hasil daripada urus niaga meragukan pentadbiran terdahulu.
Menteri Khalid Abdul Samad berkata projek tersebut sebelum ini sudah diberikan arahan kerja tetapi diarah henti kerana bertentangan dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (KL 2020).
“Kami terpaksa menelitinya sekali lagi kerana ia bercanggah dengan pelan,” katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat DBKL hari ini.
Katanya lagi, baki 74 projek masih dalam penelitian dan antara kriteria yang jadi kajian adalah nisbah plot, ketinggian bangunan serta kepadatan kawasan sekitar.
“Kami juga perlu mengambil kira soal pemaju yang sudah membelinya (tanah) semasa pentadbiran terdahulu.
“Mungkin mereka dijanjikan yang mereka boleh bina bangunan 70 tingkat, jadi kita perlu pertimbangkan semua ini juga,” tambahnya.
Khalid juga menjelaskan terdapat beberapa projek yang dikenal pasti kementerian sebagai tidak sesuai untuk diteruskan seperti di Bukit Nanas, Taman Wahyu dan Bandar Tun Razak.
September lalu, kementerian mengumumkan yang semakan semula ke atas lebih 100 projek yang ditangguhkan oleh DBKL disebabkan dokumentasi tidak tepat.
Khalid sebelum ini berkata projek tersebut ditangguh kerana transaksi projek tersebut mungkin bercanggah dengan dasar kerajaan baharu, Pakatan Harapan. – 7 November, 2018.
Komen