Kereta api bawa muatan besi bergerak sendiri sejauh 90 kilometer


Imej yang diambil dari udara menunjukkan kesan kerosakan landasan dan kereta api yang membawa muatan besi selepas tren itu bergerak sendiri sejauh 90 kilometer. – Gambar ABC News, 7 November, 2018.

SEBUAH kereta api kargo membawa muatan besi terpaksa digelincirkan selepas bergerak sendiri sejauh 90 kilometer tanpa pemandu selama hampir sejam di sebuah kawasan pendalaman Australian.

Kereta api yang mempunyai 268 gerabak itu bergerak sendiri apabila pemandunya sedang melakukan pemeriksaan dari luar dan pengangkutan kargo itu bergerak pada kelajuan 110 kilometer sejam.

Syarikat perlombongan BHP yang merupakan pemilik kereta api tersebut, mengambil keputusan untuk menggelincirkan tren itu sebelum ia tiba di pekan Port Hedland dekat Western Australia Pilbara.

Proses gelinciran itu menyebabkan landasan kereta api sejauah 1,500 meter mengalami kerosakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Imej dari udara yang disiarkan oleh portal The West Australian menujukkan kesan kerosakan dan kemusnahan akibat proses gelinciran itu.

BHP dalam kenyataannya berkata lebih 130 orang dikerah untuk membaiki semula kereta api itu dan memulihkan landasan yang merupakan laluan utama menghubungkan kawasan perlombongan bijih besi.

Operasi di tapak perlombongan masih berjalan tetapi proses penghantaran besi ke pelabuhan mungkin tergendala bagi tempoh tertentu.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berkata pihaknya masih menyiasat kejadian itu dan tidak dapat dipastikan punca sebenar yang menyebabkan kereta api itu bergerak sendiri tanpa pemandu. – AFP, 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen