DBKL pertimbang bina laluan tertutup di kawasan PPR, kata menteri


Asila Jalil

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengulas tentang kes pejalan kaki ditimpa objek di kawasan PPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan dan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk membangunkan laluan pejalan kaki tertutup di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan keselamatan penduduknya.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata langkah itu mungkin satu daripada penyelesaian untuk mengelakkan insiden objek jatuh dari tingkat atas yang boleh mengancam nyawa pejalan kaki di kawasan flat tersebut.

“Kita masih meneliti perkara itu dan mencari penyelesaian,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DBKL hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan 11 ahli Parlimen dari Kuala Lumpur.

Beliau mengulas tentang kes baru-baru ini yang berlaku di PPR Gombak Setia apabila remaja berusia 19 tahun, Muhammad Ikmal Abduk Razak terpaksa menerima 15 jahitan di kepalanya akibat terkena tayar basikal yang jatuh dari atas flat.

Khalid berkata individu yang terlibat dalam kes itu tidak layak tinggal di kawasan perumahan itu kerana bersikap tidak bertanggungjawab.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nur Hisham Ahmad Dahlan berkata DBKL juga akan mengadakan taklimat khas dengan semua penduduk flat susulan insiden itu.

“Kita akan memanggil semua pihak secepat mungkin untuk mencari penyelesaian kerana insiden ini sering berlaku.

“Kita akan cuba membina laluan tertutup. Sebab itu kita perlu meneliti perkara ini,” katanya.

Awal tahun ini, remaja berusia 15 tahun S. Satiswaran maut di PPR Pantai Dalam apabila ditimpa kerusi yang dilempar dari tingkat atas bangunan itu.

Pihak berkuasa masih memburu mereka yang bertanggungjawab dalam kedua-dua kes tersebut. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen