POLIS Australia menumpaskan satu percubaan untuk menyeludup kokain ke negara itu dengan penahanan dua lelaki rakyat Iceland bagi membantu siasatan ke atas operasi penyeludupan dadah antarabangsa.
Pada Rabu, seorang lelaki rakyat Iceland dijangka didakwa di mahkamah selepas siasatan bersama yang membabitkan Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) membongkar operasi licik itu.
Menurut agensi berita China Xinhua, pihak berkuasa telah melakukan serbuan ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun selepas seorang lagi suspek berusia 25 tahun, juga dari Iceland, ditahan pada Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne dan didapati membawa kira-kira empat kilogram kokain yang disembunyikan di dalam bagasinya.
Ketika memeriksa bagasi penumbang itu pada saat ketibaan, para pegawai AFP mengesan ada benda yang tidak konsisten dengan bagasi lelaki tersebut.
Pemeriksaan teliti mendapati “ada bahan yang disembunyikan dalam lapisan bagasi,” yang kemudian “memberi petunjuk positif mengenai kehadiran kokain itu.”
Menurut Penolong Pesuruhjaya ABF Komandan Operasi Pelabuhan, Claire Rees, pengesanan itu menonjolkan kemahiran pihak berkuasa ketika mengenal pasti pengembara bermasalah di lapangan terbang yang sibuk.
“Para pegawai kami memproses berjuta-juta pengembara udara setiap tahun dan ia membuktikan kepakaran serta penilaian profesional mereka dari segi mengenal pasti individu terbabit dan sejumlah besar dadah berbahaya,” katanya.
“Bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasaan undang-undang kami, kami komited untuk mengesan sesiapa sahaja yang tiba di Australia dengan niat untuk menjalankan aktiviti jenayah dan mencegah dadah berbahaya daripada sampai kepada komuniti Australia.”
Siasatan lanjut menyaksikan pelaksanaan satu waran geledah di sebuah hotel di Melbourne di mana seorang lelaki berusia 30 tahun didapati memiliki sejumlah 2.7 kilogram kokain.
Kedua-dua lelaki berdepan pertuduhan mengimport dan memiliki kuantiti komersial dadah terkawal.
Hukuman maksimum bagi kesalahan itu di Australia ialah penjara seumur hidup. – Bernama, 7 November, 2018.
Komen