SEORANG bekas pelarian Somalia dan seorang anak kepada pasangan imigran Palestin berkongsi detik bersejarah hari ini apabila menjadi dua wanita Islam yang pertama dipilih menganggotai Kongres Amerika Syarikat (AS).
Ilhan Omar, 37, dan Rashida Tlaib, 42, mewakili Demokrat dari Midwest dan lantang membela masyarakat minoriti dan sering menjadi perhatian dalam dasar anti pendatang haram yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.
Ilhan menang kerusi di dalam Dewan di daerah Demokrat di Minneapolis, Minnesota mengikut jejak langkah Keith Ellison, umat Islam pertama dipilih ke Kongres.
Kemenangan Rashida tidak mengejutkan. Beliau menang tanpa bertanding di daerah dari Detroit ke Dearborn, Michigan.
“Saya Muslim dan kulit hitam,” kata Ilhan yang memakai tudung dalam satu temu bual majalah.
“Saya bertanding kerana saya antara yang tahu apa yang mereka mahu wakil demokrasi sepatutnya lakukan,” katanya.
Ilhan melarikan diri daripada perang saudara di Somalia bersama ibu bapanya ketika berusia lapan tahun dan berada di kem pelarian selama empat tahun di Kenya.
Keluarganya menetap di Minnesota pada 1997, di mana terdapat populasi Somalia di situ.
Beliau menang kerusi dalam perlembagaan negeri pada 2016, menjadi wakil rakyat Somalia-AS yang pertama.
Rashida lahir di Detroit, anak perempuan sulung daripada 14 adik-beradik oleh ibu bapanya yang juga pendatang dari Palestin.
Katanya, beliau tidak bertanding semata-mata untuk mencipta sejarah sebagai seorang Muslim.
“Saya bertanding kerana ketidakadilan dan kerana anak-anak lelaki saya, yang mempertikaikan identiti Islam mereka, dan sama ada mereka berhak berada di sini,” katanya dalam satu temu bual di televisyen AS pada Ogos. – AFP, 7 November, 2018.
Komen