Kota Kinabalu dikawal ketat, mahkamah bakal putuskan siapa ketua menteri sah


Jason Santos

Lebih 600 pegawai polis, pasukan light strike force dan polis anti rusuhan ditempatkan di tiga lokasi sekitar bandar Kota Kinabalu menjelang keputusan Mahkamah Tinggi tengah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

LEBIH 600 pegawai polis, pasukan light strike force (LSF) dan polis anti rusuhan ditempatkan di tiga lokasi sekitar bandar Kota Kinabalu menjelang keputusan Mahkamah Tinggi tengah hari ini, berhubung siapa ketua menteri yang sah, sama ada Musa Aman atau Shafie Apdal.

Pasukan keselamatan mula berkawal seawal 9 pagi tadi.

Seorang pegawai polis Samad Samadi berkata 20 pegawai turut ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu susulan orang ramai dijangka berkumpul ketika ketibaan pesawat Musa dari Kuala Lumpur tiba 12.15 tengah hari ini.

Sejumlah besar anggota polis berkawal di kompleks mahkamah di Karamunsing, sementara 60 pegawai LSF dan unit anti rusuhan berada di Kompleks Pentadbiran Negeri di Likas.

“Kami bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan perarakan oleh Gabungan Bersatu Sabah (GBS) ke bangunan kerajaan untuk menuntut semula kuasa,” katanya.

Mahkamah Tinggi dijangka mula bersidang 2.30 petang ini untuk memutuskan tentang saman pemula Musa untuk mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Bermula 10.30 pagi tadi, sekumpulan kecil penyokong tiba di kompleks mahkamah dan lebih ramai penyokong daripada GBS tiba, manakala Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Shafie sebagai presidennya, dijangka tiba tidak lama lagi.

Musa, yang juga Adun Sibuga dan bekas ketua menteri Sabah, mengangkat sumpah pada 10 Mei selepas pilihan raya umum.

Bagaimanapun, beliau menghilangkan diri selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya kerana mengganggu Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin berhubung angkat sumpahnya. Shafie daripada Warisan kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

GBS, yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu Parti Bersatu Sabah, Umno Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku memberikan sokongan kepada Musa meskipun beliau berdepan pertuduhan rasuah.

Musa dikenakan 35 pertuduhan rasuah membabitkan RM243 juta berhubung konsesi balak di Sabah antara 2004 dan 2008.

GBS memberi sokongan kepada Musa hari ini, menyediakan makanan dan minuman untuk penyokong yang hadir ke mahkamah.

Pemimpin Umno negeri turut berkata pertuduhan jenayah dua hari sebelum keputusan mahkamah di Kota Kinabalu itu bertujuan mencemar nama Musa dan mempengaruhi mahkamah.

Selepas Shafie mengangkat sumpah, Musa memfailkan saman pemula terhadap Juhar dan Shafie memohon satu deklarasi bahawa beliau ketua menteri Sabah yang sah mengikut perlembagaan negeri.

Mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri ada hak untuk meminta Musa meletak jawatan atau menganggap beliau meletak jaatan, dan sama ada Juhar ada hak membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu selepas Musa sudah mengangkat sumpah.

Mahkamah juga perlu mempertimbangkan sama ada Musa ada sokongan majoriti Adun Sabah selepas enam wakil rakyat Barisan Nasional keluar parti dan menyertai Warisan. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen