Juri putuskan pengebom stesen kereta api bawah tanah New York bersalah


Letupan 11 Disember 2017, mencederakan Alkayed Ullah dan tiga yang lain dalam stesen kereta api bawah tanah yang terletak di bawah terminal Port Authority, tidak jauh dari Times Square. – Gambar AFP, 7 November, 2018.

JURI mahkamah di Amerika Syarikat (AS) memutuskan seorang pendatang Brooklyn dari Bangladesh melakukan keganasan semalam dengan meledakkan bom di stesen kereta api bawah tanah New York di Times Square bagi pihak kumpulan militan Islamic State (IS).

Akayed Ullah, 28, yang berhijrah ke AS pada 2011, didapati bersalah oleh juri sebulat bulat ketika rakyat negara itu mengundi bagi pilihan raya pertengahan penggal. Perbicaraannya di Manhattan berlangsung selama seminggu.

Letupan 11 Disember 2017, mencederakan Ullah dan tiga yang lain dalam stesen kereta api bawah tanah yang terletak di bawah terminal Port Authority, tidak jauh dari Times Square.

Bom yang diikatnya ke tubuhnya dengan wayar, gagal meletup seperti yang dirancang, dan menyebabkan Ullah cedera akibat terbakar di bahagian badan dan tangannya. Beberapa mangsa lain mengalami kecederaan kecil seperti berdegung di telinganya dan sakit kepala.

Bagaimanapun, ledakan itu menimbulkan panik dan mengganggu perjalanan pagi semasa musim cuti Krismas yang sibuk, enam minggu selepas seorang pemandu trak, juga dilaporkan daripada kumpulan IS, membunuh lapan orang di laluan basikal.

Ullah, seorang pemandu, disabitkan bersalah bagi kesemua enam pertuduhan dan menghadapi hukuman maksimum penjara seumur hidup ketika dijatuhkan hukuman pada 5 April 2019.

Kesalahannya termasuk menyokong organisasi pengganas asing, menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dan pengeboman tempat awam. – AFP, 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen