SEORANG wanita El Salvador berusia 106 tahun, menjadi warga negara Amerika Syarikat (AS) yang sah semalam ketika isu panas membabitkan pendatang Amerika Tengah dibangkitkan menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS yang berlangsung hari ini.
Maria Valles Bonilla dengan bangganya dikelilingi cucu cicit dan sanak saudara menghadiri upacara angkat sumpah di Washington semalam.
Terdahulu, Valles Bonilla ditemu ramah oleh ejen Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS, yang memutuskan beliau memenuhi semua syarat untuk menjadi seorang warganegara AS, kata jurucakap.
Valles Bonilla berkata mendiang suaminya memasang impian untuk bergelar warga AS dan beliau meneruskan usaha itu sebagai penghormatan terakhir buatnya.
Menjelang pilihan raya pertengahan penggal kali ini, Presiden Donald Trump mengetuai kempen besar-besaran menyasarkan pendatang haram yang menuju ke AS dengan harapan mendapatkan suaka politik.
Sementara itu, senator berhaluan kiri Bernie Sanders menepati ramalan apabila mencatat kemenangan awal semalam, sekali gus kekal di Senat untuk penggal ketiga.
Kemenangan Sanders di Vermont, calon bebas yang pernah bersaing dengan Hillary Clinton sebagai calon Demokrat dalam pilihan raya presiden 2016 adalah yang kedua selepas kejayaan Tim Kaine, calon Demokrat di Virginia.
Kaine dengan mudah menewaskan calon Republikan, Corey Stewart. – AFP, 7 November, 2018.
Komen