Raja Salman mulakan lawatan raih sokongan rakyat susulan kes Khashoggi


Media menyifatkan lawatan domestik Raja Salman Abdul Aziz sebagai usaha untuk meraih sokongan dalam negara terhadap krisis diplomatik antarabangsa susulan pembunuhan Jamal Khashoggi. – Gambar EPA, 7 November, 2018.

RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz memulakan lawatan dalam negara yang tidak pernah dilakukan pada Selasa ketika negara itu bergelut dengan krisis antarabangsa berhubung pembunuhan wartawan  veteran Jamal Khashoggi.

Raja berusia 82 tahun itu diiringi Putera Mahkota Mohammed bin Salman di wilayah tengah Qassim, menurut televisyen negara itu, ketika beliau memulakan lawatan yang disifatkan media Arab sebagai “beberapa kawasan” dalam kerajaan.

Beliau juga dijangka melawat wilayah utara Hail dalam lawatannya yang pertama sejak menaiki takhta paling berkuasa di Timur Tengah pada 2015, lapor akhbar pro-kerajaan Sabq.

Di Qassim, beliau akan merasmikan projek kesihatan, pendidikan dan infrastruktur serta menyemak semula syarat kerakyatan dan menyelami keperluan mereka, kata akhbar Arab Saudi, Gazette.

Tidak jelas sama ada Putera Mohammed akan menemaninya bagi lawatan seterusnya, yang menyaksikan Arab Saudi berdepan kemarahan antarabangsa berhubung pembunuhan Khashoggi pada 2 Oktober di konsulatnya di Istanbul.

Selepas pertama kali menegaskan Khashoggi meninggalkan konsulat tanpa dicederakan, pihak berkuasa Arab Saudi berkata beliau terbunuh dalam pergaduhan sebelum akhirnya menerima apa yang dikatakan Turki sejak dari awal - bahawa beliau dibunuh dalam satu pembunuhan terancang.

Ia secara meluas dilihat sebagai krisis diplomatik paling buruk yang dihadapi kerajaan sejak serangan pengganas pada 11 September 2001 terhadap Amerika Syarikat.

Pembunuhan itu mencemarkan imej global Putera Mohammed, 33, meskipun kerajaan menafikan penglibatan beliau.

Pemerintah Arab Saudi sedang berusaha mendapatkan sokongan dalam negara, termasuk di kalangan keluarga diraja, berikutan krisis itu.

Raja Salman bulan lepas mengarahkan memulakan semula pemberian bonus tahunan kepada semua pekerja kerajaan dari awal tahun depan.

Bonus itu digantung susulan langkah penjimatan pada 2016 ketika harga minyak rendah. – AFP, 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen