Mahkamah Tinggi akan putuskan jika Dr Mahathir boleh cabar komposisi RCI Khamis ini


Muzliza Mustafa

Peguam Haniff Khatri mewakili Dr Mahathir memohon dua ahli RCI digugurkan kerana mereka juga ahli pasukan petugas khas yang mencadangkan penubuhan RCI menyiasat skandal forex Bank Negara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.

HAKIM Mahkamah Tinggi akan memutuskan sekiranya Dr Mahathir Mohamad mempunyai kes untuk mencabar keenganan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RIC) Sidek Hassan dan ahli suruhanjaya Saw Choo Boon untuk berundur daripada suruhanjaya itu, kata peguam Haniff Khatri.

Dia menambah yang Hakim Azizah Nawawi sudah memberikan ruang kedua-dua pihak untuk berhujah mengenai perkara itu selama sejam dalam kamarnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Putrajaya melalui pasukannya diketuai oleh Amerjeet Singh membantah permohonan itu atas alasan yang RCI tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Dr Mahathir melalui peguamnya Haniff Khatri minggu lepas membuat permohonan supaya dua ahli RCI itu digugurkan daripada suruhanjaya yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan kerugian berbilion ringgit sekitar 1990-an.

Pengerusi panel itu, Sidek Hassan, yang juga merupakan pengerusi Petronas mengatakan yang dia akan terus menjalankan tugasnya.

“Kami ditauliahkan dan kami menerima yang RCI ditubuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kerana itu, kami berpendirian kami perlu meneruskan (tugas sebagai ahli suruhanjaya),” kata Mohd Sidek.

Keputusan itu dibuat selepas Haniff melakukan permohonan lisan meminta supaya dua ahli suruhanjaya- Sidek dan Saw- digugurkan.

Dua ahli panel itu juga merupakan ahli pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan RCI.

Haniff berkata ahli badan yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya tidak seharusnya turut dilantik menjadi ahli panel yang membuat keputusan.

Dia menambah yang isu siapa yang berada dalam panel itu penting dan perlu diselesaikan bagi memastikan pendengaran isu itu dapat dilakukan dengan saksama.

Terdapat lima tugas yang ditetapkan untuk RCI itu, iaitu,  menentukan kesahihan dakwaan kerugian akibat perdagangan mata wang asing yang dialami bank pusat itu pada 1990-an serta kesannya kepada ekonomi negara, untuk menentukan sama ada penglibatan Bank Negara dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian itu bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan atau tidak , dan untuk menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan kepada jemaah menteri, Parlimen dan rakyat.

Dua lagi tugas suruhanjaya ialah untuk mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu serta mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Sidek dibantu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said, CEO Bursa Malaysia Tajuddin Atan, Saw yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan dan K Puspanathan ahli Institut Akauntan Malaysia dan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

Peguam R Sivarasa merupakan pemerhati untuk Anwar Ibrahim yang merupakan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri pada 1990-an, dan Tan Hock Chuan merupakan peguam pemerhati untuk Bank Negara.

Siasatan itu dijangka berlangsung selama 10 hari untuk sesi pendengaran dan akan bersidang kembali pada 21 Ogos. Satu laporan kepada Yang di Pertuan Agong dijangka diberikan pada 13 Oktober ini.  – 15 Ogos, 2017.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen