Michael Douglas terima bintang Hollywood Walk of Fame


Pelakon terkenal Michael Douglas menerima bintang di Hollywood Walk of Fame semalam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya sejak bergelar anak seni selama 50 tahun. – Gambar AFP, 7 November, 2018.

PEMENANG anugerah Oscar, pelakon Michael Douglas menerima bintang di Hollywood Walk of Fame semalam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya sejak bergelar anak seni selama 50 tahun.

Majlis bersejarah itu dihadiri bapanya, aktor Kirk Douglas, 101, dan juga aktres Jane Fonda yang pernah bergandingan dengan Douglas dalam drama “The China Syndrome” pada 1979.

Hadir sama, isterinya, aktres Catherine Zeta-Jones dan ahli keluarga yang lain.

“Ini penghormatan yang hebat dan sebagai aktor yang semakin berusia, saya hanya mahu menikmatinya bersama keluarga,” kata pelakon berusia 74 tahun itu.

Douglas yang cukup beremosi, berkata majlis itu lebih bermakna dengan kehadiran bapanya.

“Jujurnya dari lubuk hati ini, saya amat bangga menjadi anak ayah,” katanya sambil bergenang air mata.

Douglas baru 29 tahun ketika namanya diangkat sebagai antara elit Hollywood selepas menjadi penerbit untuk filem “One Flew Over the Cuckoo’s Nest”.

Ia filem pertama dalam tempoh 40 tahun yang berjaya menerima lima anugerah utama Oscar termasuk gambar terbaik, pengarah terbaik, aktor terbaik, aktres terbaik dan lakon layar terbaik.

Beliau kemudian memenangi satu lagi Oscar untuk pelakon lelaki terbaik bagi filem “Wall Street” pada 1987.

Lakonannya dalam “Romancing the Stone”, “Fatal Attraction” dan “Basic Instinct” juga cukup memberi impak besar kepada kerjaya lakonannya.

Siri komedi terbarunya, “The Kominsky Method” mengenai seorang pelakon veteran yang kini mengajar lakonan, akan mula disiarkan di Netflix pada 16 November. – AFP, 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen