Kisah populariti Facebook dan cerita anjing merongrong


Zainal Rashid Ahmad

KATA Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ialah orang pertama yang pergi ke rumah mantan perdana menteri, Najib Razak pada tengah malam 9 Mei, meminta presiden Umno itu meletakkan jawatan.

Pendedahan mengenai tindakan KJ boleh dianggap sangat terburu-buru dan biadab. Malah, KJ barangkali terlalu tergesa-gesa mahu menjatuhkan Najib dan memulakan kempen menjadi presiden Umno.

KJ, kata Lokman, tidak patut bertindak demikian sebagai ketua Pemuda Umno terhadap presiden parti. Apalagi, Najib melantik KJ dalam Kabinet walaupun dilarang Dr Mahathir ketika itu. Lokman cuba menyedarkan KJ: Najib berkorban hingga bermusuh dengan Dr Mahathir kerana mahu melantik KJ jadi menteri.

Demi menginsafkan KJ, maka banyaklah momen sejarah didedahkan Lokman dalam usahanya membela Najib. Malah, tidak cukup dengan fakta sejarah, berbakul-bakul juga celaan dilemparkan pada KJ.

Antaranya, Lokman menyindir sinis pada KJ dengan celaan meroyan dan datang bulan. Pembelaan Lokman terhadap Najib bukan kejutan. Dia memang panglima perang sejak Najib tumbang dan kerap terhumban dalam proses siasatan SPRM dan polis.

Bak kata pepatah: Di mana ada bencana menimpa Najib, di situ ada Lokman datang membela!

KJ kalah bertanding jawatan presiden Umno kepada Ahmad Zahid Hamidi lepas PRU lalu. Satu keputusan pertandingan tiga penjuru yang mengekalkan rejim status quo dalam budaya Umno.

Kemenangan Zahid dan konco-konco pro Najib, satu realiti – Umno kekal totok dan bebal. Perwakilan bahagian masih enggan berubah walaupun rakyat sudah menolak parti itu ke tong sampah. Perwakilan tidak mampu melakukan pembaharuan yang diisyaratkan pengundi: Buang semua pemimpin yang berada dalam lingkaran Najib dan 1MDB!

Berbalik pada kes sindiran KJ kepada Najib: Mengapa Lokman berdesing telinga?

Semuanya bermula, apabila KJ menyindir kenyataan Najib dalam sesi pertemuan dengan pengikut Facebooknya minggu lalu. Najib menyifatkan kerajaan BN pimpinannya kalah PRU lalu kerana fitnah pembangkang.

KJ menjawab mudah: BN dan Umno kalah kerana 1MDB. Tamat!

Lokman terus naik angin dan dengan pantas menyerang dan menuduh KJ meroyan dan datang bulan. Malah, KJ dibedalnya sebagai tidak layak menjadi presiden Umno.

KJ membalasnya: Lokman akan jadi orang pertama dipecat sekiranya beliau terpilih menjadi presiden Umno.

Kata KJ, IQ Lokman berkelas lobak merah. Ini kata kunci yang menimbulkan jenaka luar biasa. Bukan selalu, Lokman terkena pukulan yang menghinakan otaknya berkelas lobak merah.

Semua perang mulut ini berlaku ketika kemelut 1MDB sudah luas terungkai. Siasatan selama enam bulan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui SPRM dan polis mendedahkan begitu banyak maklumat yang mengejutkan.

Dari berbilion-bilion duit 1MDB yang lesap dan berbilion pula duit cukai GST dan LHDN yang hilang tanpa dipulangkan kepada rakyat, Najib sudah dianggap penjenayah rakyat nombor satu. Secara persepsi, rakyat melihat Najib sebagai pemimpin jahat. Kalau Najib terus mendekatkan diri dengan Umno, maka Umno dilihat sebagai parti orang jahat!

Kini, fakta-fakta skandal 1MDB menjadikan kemarahan rakyat sangat meluap-luap. Najib sudah menyertai sejarah Presiden Marcos dalam sejarah hitam Filipina dan sejarah ketamakan Suharto dalam sejarah reformasi Indonesia.

Cuma bezanya, Marcos dan Suharto tidak mencipta rekod dunia. Kejahatan yang sangat lokal. Najib lebih berjaya kerana kehilangan wang yang banyak dalam 1MDB, menjadikan skandal itu sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

Najib kini berdepan puluhan pertuduhan mahkamah. Semuanya berkait dengan rasuah peribadi dan penyelewengan dana berkaitan 1MDB. Senario pendakwaan demi pendakwaan dijangka berterusan. Najib mungkin terpaksa naik turun mahkamah dan keluar masuk bilik siasatan hingga ke akhir hayatnya.

Lokman, sebagai soldadu Najib sejak dijatuhkan rakyat dan parti, tidak akan menerima hakikat mengenai realiti dan fakta kes. Lokman yang menganjurkan pelbagai perhimpunan solidariti untuk Najib, berpegang pada anggapan: Semua pertuduhan terhadap bosnya itu sebagai berbau politik.

Seperti Najib, Lokman tidak menerima hakikat – rakyat menolak BN kerana kejahatan Najib. Bahawa, krisis kepimpinan Najib yang dipenuhi kemelut 1MDB menjadikan BN dan Umno di mata rakyat, sebagai parti penyonglap wang negara dan konspirator rasuah kelas dunia.

Sejak PRU 2013, setelah menang hanya 133 kerusi, tanda-tanda kemerosotan BN dan Umno sudah ketara. Ia berkait dengan keadaan ekonomi yang menghimpit serta ketidak kawalan Najib terhadap pelbagai projek mega negara yang disebarkan sebagai milik kroni, sudah menampakkan Umno dan BN tidak akan mampu terus bertahan.

Justeru, kemerosotan 11 kerusi (144 kerusi ketika PRU dipimpin Abdullah Badawi pada 2008) Najib sepatutnya faham, rakyat mula kurang senang dengan kes-kes rasuah yang melingkari keluarga dan peribadinya.

Isu 1MDB selepas PRU13 ketika itu baru berkocak. Namun, Najib menafikannya dengan keras. Malah, di situlah timbul dana RM2.6 bilion yang diterimanya adalah sedekah kerabat diraja Arab Saudi.

Najib dan pasukan pelobinya, mencipta pelbagai usaha untuk mengaitkan wang yang ditemui dalam akaun peribadinya adalah sedekah keluarga diraja Arab Saudi.

Menjelang PRU 14, sekitar 2016 – isu 1MDB sudah terdedah dengan meluas. Tindakan DoJ di Amerika Syarikat membuka siasatan rasmi, membongkar kemelut sebenar.

Paling tidak, rakyat nampak AS$4.5 bilion aset haram milik Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz dikaitkan dengan skandal 1MDB. Isu wang rakyat yang disonglap dan cuba digelapkan di AS.

Sekali pun berkemelut, kata Lokman, Najib kini kembali popular. Angka pengikut Facebooknya mencecah 3 juta. Kenaikan 100%.

Tapi benarkah angka pengikut Facebook boleh dijadikan indikator Najib mendapat sokongan awam sebagai solidariti tanda dia tidak bersalah?

Bukankah anjing yang menyalak di tengah simpang jalan yang sibuk juga mampu menarik orang ramai berhenti dan melihat aksi rongrongannya?

Ini realiti, seekor anjing juga boleh menjadi popular kerana merongrong di jalanan tanpa henti.

Soal popular tidak mungkin. Rakyat menyimpan dendam kesumat bukan sedikit terhadap Najib. Setelah bukti-bukti begitu banyak dikemukakan, semua kebejatan Najib di Putrajaya kini didedahkan satu demi satu. Rakyat berdendam kerana penipuan itu. Rakyat marah kerana skandal itu menjerumuskan puluhan bilion wang negara.

Lokman mungkin kekal menjadi lobak merah demi mempertahankan Najib. Kesetiaan dan ketaatan memang pilihan Lokman. Sejarah kebodohan orang memang pilihan Lokman. Sejarah kebodohan orang Melayu bukan sehari dua. Ketaatan yang bodoh juga antara sikap lapak orang Melayu yang percaya: Mati cara Tuah akan masuk syurga!

Tetapi di mata orang awam, Najib adalah virus yang hampir membunuh bangsanya. Malah, virus tunggal yang membunuh BN dan Umno dalam PRU lalu. Najib boleh saja berbangga mengumpulkan 5 juta pengikut Facebook selagi dia rajin bersuara. Sebab anjing yang merongrong tetap akan mendapat perhatian.

Namun, apabila Awang Selamat dalam kolum Bisik-bisik Mingguan Malaysia pada 4 November turut menghentam Najib sebagai penipu, ia bererti paras kebencian dan dendam kumpulan pro Umno kita meletup ke tahap ultimatum.

Apa pun, orang macam Najib dan Lokman tidak akan peduli pada semua isyarat dan kebencian ini. Mereka akan terus bersuara. Walaupun, mereka tahu – suara penyangak tidak mungkin berguna menegur kerajaan.

Sebab penyangak hanyalah kawanan anjing yang selayaknya merongrong di simpang jalan! – 7 November, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen