Zahid berjuang demi kelangsungannya dalam Umno


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hassan disambut pada satu program parti itu di Rantau, Negeri Sembilan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

SEMUANYA tidak begitu baik untuk Ahmad Zahid Hamidi walaupun ramai yang hadir pada program di Rantau, Negeri Sembilan semalam.

Presiden Umno itu tahu ada desakan daripada dalam parti sendiri supaya beliau bercuti sehingga selesai semua 45 pertuduhan jenayah yang dikenakan kepadanya.

“Malah Pakatan Harapan (PH) juga harap saya akan bercuti tetapi saya tidak akan buat begitu. Saya akan tetap bertahan,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 ahli akar umbi Umno Negeri Sembilan yang berkumpul sejak 8 pagi untuk mendengar beliau bercakap tentang pertuduhan itu.

Zahid kini di persinggahan kelima dalam kempen seluruh negara bagi mengukuhkan kedudukannya selepas dikenakan 45 pertuduhan membabitkan RM114.15 juta.

Presiden berusia 65 tahun itu yang masih kekal bersemangat berkata, desakan untuknya bercuti adalah sebahagian rencana untuk melemahkan partinya dan menjadikan ia “tiada nakhoda”.

Dalam ucapan selama 48 minit itu, Zahid berkata pertuduhan terhadapnya berlaku kerana keengganannya menyertai Bersatu atau membubarkan Umno.

“Mereka berkata saya jumpa mereka (Bersatu) untuk mendapatkan nasihat bagaimana mengendalikan Umno tetapi itu tidak benar. Mereka mahu saya sertai mereka dan bubar Umno,” katanya.

Tetapi menyedari kehadiran media, Zahid memilih untuk tidak memberikan butiran tentang pertuduhan itu.

“Saya sudah pun menjelaskannya kepada pemimpin Wanita dan Pemuda dan exco Negeri Sembilan hari ini,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Perpaduan

Sebaliknya, Zahid terus memberi bayangan bahawa parti itu “akan kembali berkuasa” tidak lama lagi.

“Mereka bergaduh sesama mereka sekarang. Dan bila dua gajah bergaduh, kancil perlu ke tepi. Salah seekor gajah akan akhirnya kalah dan bila itu berlaku, mereka akan datang pada kita untuk minta bantuan,” katanya.

Beliau merujuk kepada dakwaan wujudnya pertelingkahan antara Dr Mahathir Mohamad dan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung jawatan perdana menteri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak akan tunduk dengan desakan supaya bercuti susulan dikenakan 45 pertuduhan kes rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

Dalam desakannya supaya parti bersatu dan menyokong kepimpinannya, Zahid menyentuh tentang Khairy Jamaluddin.

“Ada perbezaan pendapat antara saya dan Pemuda Umno dan malah ketua sebelumnya. Saya boleh terima itu, tetapi seseorang itu jangan terlalu melampau. Kenapa kita hendak bergaduh sesama kita?”

Zahid kemudian berkata Khairy diberi kepercayaan untuk menjadi ahli pembangkang pertama membahaskan bajet negara Isnin depan.

“Walaupun saya ketua pembangkang (dengan persetujuan ahli Parlimen lain) memberikan mandat kepada Khairy untuk membentangkan bajet alternatif pada Isnin kerana kami yakin dengan beliau.

“Ini menunjukkan bahawa saya percayakannya walaupun dia tidak selalu percaya kepada saya. Perkara lepas, biarlah berlalu. Sudah tiga kali. Jangan biarkan isu dalaman kita tersebar keluar,” katanya.

Antara pemimpin yang hadir pada program itu ialah timbalan presiden Mohamad Hasan, naib presiden Ismail Sabri Yaakob dan Mahadzir Khalid, ahli Majlis Tertinggi Lokman Adam dan Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Rembau Khairy dan timbalan ketua Pemuda Shahril Hamdan.

Sementara itu, Exco Pemuda Rembau Ahmad Firdaus Saipudin berkata Zahid perlu bercuti.

“Ketua Pemuda Umno (Dr Aysraf Wajdi Dusuki) mendesak presiden bercuti hanya pendapat selepas satu mesyuarat dan tidak mewakili akar umbi.

“Zahid perlu terus berjuang untuk kami dan jadi presiden kami. Seperti beliau katakan hari ini, beliau tidak rasa tertekan dengan pertuduhan itu.”

Melihat kepada jumlah yang hadir, Firdaus berkata Zahid dan Mohamad berjaya mengemudikan parti itu dan pasangan yang baik untuk Umno.

Ketua Wanita Umno Rasah Habsah Hamid berkata beliau masih menyokong Zahid kerana pertuduhan itu belum terbukti benar.

“Seperti beliau jelaskan tadi, pertuduhan itu hanya permainan politik oleh kerajaan untuk melemahkan Umno. Tidak perlu untuk beliau ambil cuti.”

Katanya, beliau percaya Zahid dapat menjalankan tanggungjawab walaupun dituduh dengan 45 pertuduhan rasuah.

“Siri jelajah ini cara yang sangat bagus untuk menjelaskan tentang isu itu,” kata Habsah. – 7 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen