Penyokong Musa dan Shafie rancang berhimpun di mahkamah hari ini


Jason Santos

Musa Aman memfailkan saman pemula terhadap Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie Apdal, memohon pengisytiharan bahawa beliau ketua menteri Sabah yang sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

WALAUPUN dikenakan 35 pertuduhan pada Isnin, Musa Aman akan tetap mendapat sokongan kuat daripada ahli Gabungan Bersatu Sabah (GBS) di kompleks mahkamah Kota Kinabalu petang ini, ketika keputusan siapa lebih berhak menjadi ketua menteri Sabah disampaikan.

Musa memfailkan saman pemula terhadap Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie Apdal, memohon pengisytiharan bahawa beliau ketua menteri Sabah yang berhak mengikut kepada perlembagaan negeri.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membacakan keputusan hari ini, hanya dua hari selepas Musa yang juga Adun Sibuga dikenakan 35 pertuduhan rasuah membabitkan RM243 juta berhubung konsesi balak di Sabah antara 2004 dan 2008.

Pemimpin Umno negeri percaya pertuduhan jenayah itu, yang hanya dua hari sebelum keputusan mahkamah berkenaan ketua menteri yang sah, dibuat untuk mencemarkan nama Musa dan mempengaruhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Lebih 1,000 penyokong GBS dijangka berhimpun di kompleks mahkamah petang ini.

GBS ialah gabungan empat parti pembangkang iaitu Parti Bersatu Sabah, Umno Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Ajis Julkarnain berkata pertuduhan rasuah terhadap Musa dirancang oleh mereka yang berada di dalam kerajaan, memikirkan bahawa dengan mencemarkan nama Musa, ia akan menjatuhkan moral penyokongnya.

“Ia akan jadi perbuatan yang memakan diri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mereka fikir dengan menunjukkan kerajaan terdahulu dan Musa rasuah, rakyat akan percaya mereka.

“Rakyat dah bosan dengan permainan seperti ini.”

Dua hari lalu, Musa Aman yang juga Adun Sibuga dikenakan 35 pertuduhan rasuah membabitkan RM243 juta berhubung konsesi balak di Sabah antara 2004 dan 2008. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.

Ajis berkata gabungan itu sudah merancang untuk keluar esok, termasuk menyediakan bekalan makanan dan minuman bagi mereka yang hadir ke mahkamah.

“Ini program GBS dan kami bekerjasama untuk memastikan semua orang turut serta bagi menyokong pemimpin kami,” katanya.

Ketika ditanya mengapa kehadiran ahli GBS sedikit saja ketika penghujahan lisan pada 25 Oktober, Ajis berkata parti tidak menggalakkan ahlinya beramai-ramai hadir kerana bimbang provokasi daripada Parti Warisan Sabah. – 7 November, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen