202 kubur besar ditemui di Iraq, 12,000 orang dibunuh IS


PBB di Iraq (Unami) dan pejabat hak asasinya berkata mereka sudah merekodkan sejumlah 202 kubur besar di kawasan barat dan utara Iraq yang ditakluk IS antara 2014 hingga 2017. – Gambar AFP, 6 November, 2018.

KUMPULAN pengganas Negara Islam meninggalkan lebih 200 kubur besar di Iraq yang mengandungi sehingga 12,000 mayat yang boleh jadi bukti penting berlakunya jenayah perang, kata PBB hari ini.

PBB di Iraq (Unami) dan pejabat hak asasinya berkata mereka sudah merekodkan sejumlah 202 kubur besar di kawasan barat dan utara Iraq yang ditakluk IS antara 2014 hingga 2017.

Lebih banyak kubur mungkin akan ditemui dalam masa beberapa bulan lagi, kata laporan itu lagi yang juga mendesak pihak berkuasa Iraq menggali dan mengebumikan mayat dengan cara terhormat bagi menghormati keluarga mangsa.

“Kubur besar yang dicatatkan dalam rekod kami adalah bukti kejam kehilangan nyawa manusia, kesengsaraan berterusan dan kekejaman mengejutkan,” kata wakil PBB di Iraq Jan Kubis.

“Menentukan situasi yang menyebabkan kehilangan nyawa ini adalah langkah penting kepada ahli keluarga dalam perjalanan mereka mendapatkan keadilan dan kebenaran,” katanya.

IS menyerang Iran pada 2014, membunuh tentera dan orang awam secara besar-besaran dan menggunakan pelbagai bentuk penindasan untuk menakluk kawasan utara dan barat negara itu.

Kubur besar itu mungkin “mengandungi bahan material penting” yang boleh membantu untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku serta mengenal pasti mangsa, kata PBB lagi.

Penyiasat PBB sejak Ogos lalu mula mengumpul bukti jenayah perang, jenayah kemanusiaan atau genosid untuk mahkamah Iraq menggunakannya dalam perbicaraan terhadap militan IS.

Daripada 202 kubur besar yang direkodkan dalam laporan terbaru PBB, hanya 28 kubur dan 1,258 digali semula oleh pihak berkuasa Iraq.

Separuh daripada jumlah kubur tersebut berada di kawasan Nineveh, tempat pusat pemerintahan IS, Mosul terletak dan jenayah besar-besaran dilakukan pengganas IS terhadap minority Yezidi.

Selebihnya pula berselerak di kawasan utara Kirkuk dan Salaheddin atau Anbar di barat Iraq. – AFP, 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen