KERAJAAN mesti menyelesaikan segera masalah pertembungan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama, gesa Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Profesor Zakaria Stapa berkata umat Islam seharusnya berpendapat umat Islam seharusnya berpandukan mahkamah syariah demi menjaga keharmonian institusi kekeluargaan selain mendapat rujukan berkaitan hukum syariah yang lebih jelas.
“Sekarang ini kita ada dua bentuk perundangan (sivil dan syariah). Ia sepatutnya diharmonikan supaya jelas apa yang perlu dirujuk di mahkamah syariah perlu didengar di mahkamah itu, dan bukannya di mahkamah sivil,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Beliau ditemui selepas Bicara Persada ke-38 Anak Tak Sah Taraf: Melindung Maruah atau Mematuhi Syariah di UKM, Bangi pada Isnin. Forum itu menampilkan panel termasuk Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pensyarah Jabatan Syariah UKM, Prof Madya Dr Zaini Nasoha.
Zakaria mengulas konflik dalam masyarakat berbilang agama di negara ini, termasuk kes terbaru berhubung nasab anak tidak sah taraf yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan boleh dibinkan kepada bapa dan tidak perlu memakai nama “bin Abdullah”.
Mahkamah Rayuan pada 25 Julai lalu mengeluarkan penghakiman bertulisnya yang membenarkan rayuan sepasang suami isteri yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya.
Dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan ia tidak terikat dengan fatwa kerana fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Jabatan Pendaftaran Negara dalam kesnya merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negara pada 2003 yang memutuskan anak tidak sah taraf, iaitu yang lahir kurang enam bulan daripada perkahwinan ibu bapanya, tidak boleh memakai nama bapa tetapi dibinkan kepada “Abdullah”.

Zakaria, pensyarah di Institut Islam Hadhari UKM berkata usaha menyelaraskan bidang kuasa dua mahkamah itu pernah cuba dilakukan di peringkat Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun belum selesai meskipun sudah sekian lama.
“Kita sudah merdeka 60 tahun pun perkara ini masih belum selesai. Kita mengharapkan perkara ini dipercepatkan supaya masyarakat boleh tenang menghadapi perkara seumpama ini.
Kenapa mesti pakai “bin Abdullah”?
Dalam pada itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Prof Dr. Mohd Naim Mohktar bimbang sekiranya anak tidak sah taraf perempuan dibenar menggunakan nama bapa akan timbul isu dalam soal wali apabila dia ingin berkahwin nanti.
“Kita (Mahkamah Syariah) bimbang masalah integriti terhadap kelayakan wali itu. Hakim Mahkamah Rayuan berpandangan ini persoalan pentadbiran dan persoalan ini mungkin boleh menjurus kepada soal hukum sekiranya tidak ada sikap amanah pada bapa yang telah dibinkan anak tersebut.
“Kalau bapa tadi seorang yang amanah, itu tidak timbullah persoalan tersebut,” katanya.
Dalam Islam, anak perempuan perlu mendapat persetujuan wali untuk berkahwin, yang terdiri daripada ahli keluarga lelakinya mengikut urutan termasuk bapa, datuk, adik beradik, bapa saudara dan sepupu.
Forum anjuran UKM tersebut membincangkan masalah anak tak sah taraf yang mempunyai jumlah statistik membimbangkan.
JPN merekodkan 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, antara 2005 hingga 2015. – 15 Ogos, 2017.
Komen