Israel bakal laksana hukuman mati ke atas 'pengganas' Palestin


Rakyat Palestin yang didapati terlibat dalam aktiviti keganasan berdepan hukuman mati oleh mahkamah tentera Israel. – Gambar fail EPA, 6 November, 2018.

PARLIMEN Israel akan meneruskan perbahasan terhadap rang undang-undang untuk menguatkuasakan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang terlibat dalam sebarang bentuk keganasan.

Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman berkata beliau berharap rang undang-undang itu akan diluluskan.

“Selepas lebih tiga tahun berusaha, hukuman mati ke atas pengganas akan dibentangkan untuk dibahaskan pada Rabu depan (14 November),” kata Lieberman menerusi laman sosial Twitter.

“Kita tidak akan berhenti selagi misi ini tidak tercapai.”

Rang undang-undang itu yang mendapat sokongan awal oleh Parlimen pada Januari lalu, akan memudahkan keputusan mahkamah tentera di Tebing Barat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang didapati bersalah melakukan keganasan.

Berdasarkan undang-undang sekarang, satu panel yang terdiri daripada tiga hakim tentera perlu sebulat suara untuk menjatuhkan sebarang hukuman mati di mahkamah tentera.

Namun rang undang-undang baharu itu membolehkan hakim mencapai keputusan majoriti berbanding keputusan sebulat suara untuk melaksanakan hukuman tersebut.

Israel tidak melaksanakan sebarang hukuman mati sejak 1962, iaitu selepas penjenayah perang Nazi Adolf Eichmann dihukum gantung.

Israel memansuhkan hukuman itu atas kesalahan pembunuhan dalam di mahkamah awam pada 1954, tetapi secara teorinya ia masih terpakai untuk jenayah perang, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, pengkhianatan dan jenayah terhadap penduduk Yahudi.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap hukuman mati bagi sesetengah kes.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas pengganas merupakan salah satu janji pilihan raya Lieberman pada 2015. – AFP, 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen