Polis Bangladesh tembak mati ketua kumpulan pelampau


Anggota tentera dikerah menangani serangan cafe di Dhaka yang mengorbankan lebih 20 nyawa pada 2016. – Gambar fail AFP, 6 November, 2018.

POLIS Bangladesh menembak mati ketua kumpulan ekstremis Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) yang bertanggungjawab membunuh aktivis sekular dan menjadi dalang insiden serangan sebuah kafe yang mengorbankan 22 orang.

Jurucakap polis Sonaton Chokraborty berkata Khorshed Alam yang merupakan pelampau berbahaya, ditembak mati awal pagi Selasa di pekan Shibganj, utara Bangladesh.

“Khorshed meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital,” katanya Chokraborty.

Polis berkata Khorshed berjaya dikesan selepas kumpulan itu menjadi lemah ekoran hukuman yang dikenakan ke atas bekas komandernya Shaikh Abdur Rahman dan lima pemimpin tertinggi pada Mac 2007.

Militan berusia 38 tahun itu didakwa menjadi dalang dalam beberapa serangan di Bangladesh termasuk kes pembunuhan penulis athies Shahzahan Bachchu di daerah Munshiganj pada Jun lalu.

Dia juga mengetuai serangan ke atas sebuah van penjara pada 2014 untuk membebaskan dua militan kanan JMB.

Sejak beberapa tahun lalu, perpecahan yang berlaku dalam kepimpinan awal JMB menarik perhatian ramai pihak apabila lima anggota mudanya menyerbu sebuah pasar di Dhaka pada Julai 2016 dan membunuh 22 orang termasuk 18 pelancong asing.

Polis Bangladesh melancarkan operasi besar-besaran memburu ahli kumpulan pelampau itu dan membunuh lebih 80 suspek militan Islam serta menahan ratus ahli yang lain.

JMB diasaskan oleh kumpulan radikal Bangladesh ekoran perang saudara di Afghanistan pada 1990-an.

Kepulangan mereka ke Bangladesh mencetuskan ancaman keganasan di seluruh negara yang berasaskan demokrasi sekular itu.

Mereka menyasarkan kumpulan minoriti, pekerja asing dan penulis liberal menerusi serangan bom dan pisau sejak hampir dua dekad lalu. – AFP, 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen