Perang 2 lagu rap 'hangatkan' politik Thailand


Antara paparan skrin lagu rap Prathet Ku Mee atau What My Country's Got nyanyian kumpulan Rap Against Dictatorship (RAD) yang diambil dari YouTube. – Gambar YouTube, 6 November, 2018.

PERANG dua lagu rap yang dinyanyikan oleh dua kumpulan berbeza fahaman politik, iaitu antikerajaan dan propemerintah, menghangatkan lagi suasana politik Thailand, yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum rakyat negara ini keluar mengundi pada 24 Feb 2019.  

Lagu yang bertajuk Prathet Ku Mee atau What My Country’s Got, oleh kumpulan Rap Against Dictatorship (RAD) menyasarkan kerajaan tentera sekarang dan isu panas yang membelenggu Negara Gajah Putih ini seperti wabak rasuah, ketidakadilan dan persekitaran politik yang bersifat memecahbelahkan dan keganasan. 

Sejak lagu itu disiarkan pada 22 Oktober lepas, klip muzik videonya telah ditonton 28 juta pengunjung di platform perkongsian video paling popular YouTube, serta turut menguasai carta muzik dan senarai lagu popular Thailand, dan ini menimbulkan rasa cemas kepada pemerintah. 

Para pegawai memandang serius lirik lagu itu, apabila Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Srivara Rangsibragmanakul yang menganggapnya sebagai menjengkelkan, mempersoalkan sama ada lagu popular itu melanggar undang-undang dan menghasut kekacauan, walaupun dia kemudiannya akur.

“Lirik lagu itu tidak cukup kukuh untuk kami jalankan pendakwaan, jadi orang ramai dibenar untuk mendengar, menyanyi dan berkongsi lagu itu,” kata Srivara, tambahan pula lirik lagu itu yang bertemakan politik, telah berjaya menarik ramai peminat dan penggemar lagu rap itu.

Kontroversi lagu rap itu sebaliknya adalah muzik dan hiburan bagi halwa telinga kumpulan penentang kerajaan tentera di negara ini, yang memuji keberanian kumpulan penyanyi rap ini.

Antara lirik lagu rap ini yang menggusarkan pegawai kerajaan adalah: My country points a gun at your throat. It claims to have freedom but gives no right to choose. (Negara saya mengacukan pistol ke leher anda. Kononnya ada kebebasan tetapi tidak memberi hak untuk memilih). 

Video muzik yang berdurasi lima minit ini turut menitipkan pesanan di akhir video ini, Divide-and-rule is a dictator’s best trick. All People Unite. (Pecah dan perintah adalah taktik licik diktaktor. Semua rakyat bersatu).

Muzik video dengan tema visual hitam dan putih ini dibarisi 10 rapper juga turut menyentuh isu sensitif  apabila turut menyelitkan babak pembunuhan di hadapan Universiti Thammasat, Bangkok.

Untuk menandingi kehebatan lagu Prathet Ku Mee, kerajaan turut melancarkan lagu rap berjudul Thailand 4.0, yang diumumkan sempena persidangan perniagaan minggu lalu, yang dihadiri Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

Sehingga semalam, lagu itu yang mempunyai bait-bait lirik berunsur positif, memberi suntikan semangat dan inspirasi seperti There are many talented Thais, if we work together we’d be stronger, stronger dan Gen M, Gen Z, Gen whatever if you all agree, it’d be easier, easier,  hanya ditonton 1.3 juta kali dan 20,000 dislikes di laman YouTube. 

Amat jauh bezanya, dengan 28 juta tontonan yang diraih lagu rap Prathet Ku Mee di YouTube.

Media tempatan turut mengkritik langkah berkenaan, yang menganggap lagu rap Thailand 4.0 pincang berbanding populariti yang diraih Prathet Ku Mee dan netizen turut tidak melepaskan peluang untuk mempersendakan usaha kerajaan itu.

“Saya telah hidup selama 29 tahun, dan ini adalah lagu pertama yang saya dengar, yang mendakwa lagu rap. Saya ingatkan lagu Hari Sukan yang dinyanyikan di sebuah tokong,” kata pengguna Suphachon P. Phattara yang dipetik oleh portal berita popular, Khaosod English.

“Sangat pincang, iramanya sudah ketinggalan zaman,” tambahnya lagi. – Bernama, 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen