Bayi hanyut di laut terselamat


Nelayan tempatan di New Zealand menyelamatkan seorang bayi lelaki yang pada mulanya disangka patung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

SEORANG bayi terselamat selepas hanyut di laut ketika mengikuti ibu bapanya berkhemah di tepi pantai di New Zealand.

Bayi itu diselamatkan oleh seorang nelayan yang pada mulanya menyangka mangsa merupakan sebuah patung.

Gus Hutt menjumpai bayi itu ketika keluar memancing pada awal pagi di Pantai Matata, North Island.

“Saya menyangka bayi itu adalah patung,” katanya ketika mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 26 Oktober lalu.

“Saya mengangkat dan memeluknya. Malah ketika itu saya masih menyangkakan dia adalah patung.

“Mukanya amat licin dengan keadaan rambut dibasahi air. Tetapi apabila dia mula merengek, baru saya menyedari ia adalah bayi yang masih hidup.”

Siasatan pihak berkuasa mendapati bayi berusia 18 bulan itu, Malachi Reeve dihanyutkan ombak pantai selepas merangkak keluar dari khemah ibu bapanya.

Ibu bapa Malachi kemudiannya dimaklumkan tentang kejadian itu dan menuju ke pusat kem untuk mendapatkan kembali anak mereka.

Ibunya Jessica Whyte mendapati anak lelakinya itu kelihatan ‘ungu, sejuk dan lebih kecil berbanding biasa’.

Namun selepas diberikan rawatan, Whyte berkata anaknya itu tidak mengalami sebarang kecederaan atau terjejas akibat kejadian itu. 

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempoh bayi itu terapung di laut sebelum diselamatkan. – AFP, 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen