TURKI memberi amaran bahawa tindakan Washington mengenakan sekatan baharu ke atas Iran akan mengundang bahaya, kata menteri luarnya, Mevlut Cavusoglu.
Minggu ini, Washington mengenakan sekatan kedua ke atas Iran untuk meminggirkan sektor perbankan negara itu dan mengurangkan eksport minyaknya.
Lapan negara termasuk Turki menerima pengecualian Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan import minyak Iran.
“Walaupun kita meminta pengecualian daripada AS, kita berpendapat bahawa tindakan meminggirkan Iran adalah tidak bijak. Tindakan itu adalah berbahaya dan tidak adil buat rakyat Iran,” katanya pada sidang media ketika lawatan ke Jepun.
“Turki menentang sekatan itu kerana kami tidak percaya tindakan sedemikian boleh membuahkan hasil,” katanya.
“Selain sekatan, adalah lebih baik jika rundingan dan pertemuan diadakan.”
Washington mengenakan dua set sekatan baharu pada tahun ini selepas menarik diri dari perjanjian nuklear yang ditandatangani oleh kuasa dunia dan Iran.
Sekatan baharu itu mencetuskan kemarahan Iran dan Presidennya, Hassan Rouhani berkata Teheran akan mampu mengharungi sekatan tersebut. – AFP, 6 November, 2018.
Komen