Umno sedia kemungkinan PRK DUN Rantau


Zaim Ibrahim

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden Mohamad Hassan ketika hadir pada pertemuan dengan pimpinan dan akar umbi Umno Negeri Sembilan, di Rantau hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 November, 2018.

UMNO melancarkan gerak kerja untuk menghadapi kemungkinan diadakan pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan, yang keputusan petisyen pilihan rayanya akan diumumkan oleh mahkamah pada 22 November ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menjelaskan gerak kerja itu hanya satu persediaan sekiranya “sesuatu yang buruk berlaku”.

“Gerak kerja dilancarkan jika mahkamah memutuskan bahawa PRK DUN Rantau (perlu) diadakan.

“Saya tidak menjangkakan mahkamah tidak berpihak kepada kami, tapi kami sedia untuk sesuatu yang buruk akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan dan akar umbi Umno Negeri Sembilan, di Rantau hari ini.

Negeri Sembilan adalah negeri kelima dalam siri jelajah Zahid yang dinamakan “Perjumpaan Khas Presiden Umno”, yang kebetulan diadakan selepas presiden Umno itu dikenakan 45 pertuduhan jenayah di mahkamah pada 19 Oktober lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan turut menjangkakan bahawa PRK di kerusinya itu diadakan semula kerana merasakan pihak mahkamah seolah-olah tidak menyebelahinya.

“Minggu depan hakim akan buat keputusan mengenai pilihan raya. Jika ada pilihan raya, jadikan ia satu manifestasi kebangkitan Umno,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Petisyen keputusan pilihan raya DUN Rantau dibicarakan di Mahkamah Pilihan Raya di Seremban sejak 12 September lalu selepas mahkamah sebelum itu menolak bantahan awal Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan terhadap petisyen difailkan bekas calon PKR, Dr S Streram.

Mohamad Hassan sudah mengemukakan lapan bantahan terhadap  petisyen difailkan bekas calon PKR, Dr S Streram kepada di Mahkamah Pilihan Raya di Seremban. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

Hakim Azimah Omar membuat keputusan itu setelah menolak lapan bantahan yang dikemukakan Mohamad, selaku responden pertama.

Antara bantahan yang dikemukakan pihak Mohamad adalah isi kandungan petisyen tidak menyatakan apa kesalahan-kesalahan undang-undang yang dibuat responden pertama di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

Minggu lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Dr S Streram untuk mempertimbangkan sama ada mahu meminda saman sivilnya sementara menunggu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 22 November. 

Bulan lepas juga, Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus Suyub kerana didapati bersalah mengacau ganggu pentadbiran keadilan.

Azimah Omar melalui penghakimannya berkata, perbuatan Amino yang menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Penolong Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Rembau, Daing Muhamad Rahimi sebelum Daing memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah, adalah perbuatan yang dianggap menghina mahkamah.

S Streram (dua kiri) mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Pilihan Raya di Seremban bagi membantah kemenangan Mohamad Hassan di Rantau. – Gambar YouTube, 6 November, 2018.

Dalam WhatsApp tersebut yang dihantar melalui talian peribadi Amino berbunyi, “As Salam, Lepas ni kau akan jadi saksi… hati-hati…teruk den (saya) kono (kena) soal dalam court (mahkamah)... lebih baik cakap tak tau”.

Amino dalam hujahan pembelaannya berkata WhatsApp itu dihantar sebagai luahan perasaan sahaja dan tidak berniat untuk mengajar Daing bagaimana hendak memberi keterangan kepada mahkamah.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau.

Streram berkata , beliau telah membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk pendaftaran pencalonannya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen pada 25 April.

Dr Streram didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, serta mendakwa SPR tidak memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan. – 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen